Isnin, 9 November 2020

Belanjawan 2021 tak mampu bantu kami, kata Persatuan Pelancongan Sabah

Persatuan Pelancongan Sabah menjangkakan banyak pusat pelancongan mungkin ditutup, 
jika kerajaan tidak mengkaji semula Belanjawan 2021 dan menambah peruntukan untuk 
industri itu. (Gambar Bloomberg)

KOTA KINABALU: Persatuan Pelancongan Sabah (STA) yang kecewa dengan Belanjawan 2021 menggesa kerajaan mengkaji semula peruntukan untuk membantu industri itu yang teruk terjejas akibat Covid-19.

Pengerusi STA, Tonny Chew berkata, lanjutan program subsidi upah (PSU) dan moratorium pembayaran balik pinjaman bank tidak cukup untuk membantu pemain industri pelancongan terus bertahan dalam menghadapi impak Covid-19.

“Saya menjangkakan banyak agensi pelancongan yang akan memberhentikan pekerja mereka secara besar-besaran pada awal tahun depan, iaitu selepas lanjutan PSU berakhir.

“Ini disebabkan aliran tunai bakal terjejas teruk untuk pembayaran pinjaman serta gaji pekerja,” katanya kepada FMT.

Chew menggesa kerajaan mengkaji semula peruntukan untuk industri pelancongan kerana beliau menjangkakan keadaan akan bertambah buruk untuk pengusaha pelancongan.

“Sebelum keadaan menjadi lebih buruk buat industri ini (pelancongan), kerajaan perlu buat sesuatu, kaji semula bajet yang dikhususkan buat industri ini.

“Ada kemungkinan banyak pusat pelancongan yang bakal tutup kedai, jika kerajaan tidak mengkaji semula dan seterusnya menambah bajet untuk pelancongan.

“Kerajaan juga boleh mencari jalan lain seperti membuka peluang atau mencadangkan kepada pemain industri pelancongan untuk mempelbagaikan atau meneroka perniagaan lain bagi memastikan mereka dapat terus bertahan.”

Sementara itu, Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Jafry Ariffin bagaimanapun menyambut baik peruntukan lebih RM100 juta untuk industri pelancongan.

Beliau menyifatkan peruntukan itu lebih realistik, sesuai dengan keadaan semasa, khususnya sektor pelancongan yang turut terjejas akibat Covid-19.

“Peruntukan yang disalurkan akan dimanfaatkan sebaik mungkin seiring usaha kementerian dalam memulihkan industri pelancongan agar terus kukuh sehingga pandemik Covid-19 berakhir.

“Pihak kementerian juga bersyukur apabila diumumkan Geran Khas Prihatin Tambahan RM1,000 kepada peniaga dan penjaja di Sabah yang terjejas teruk ekoran kekurangan pelancong.

“Sebelum ini, gerai-gerai meriah dengan pelancong dari dalam dan luar negara, namun kini ia sekadar menjadi penghias kawasan pelancongan di negeri ini.

“Geran khas yang juga akan diberikan kepada pemandu teksi, e-hailing, kereta sewa dan pemandu pelancong pastinya menjadi berita gembira buat mereka, selepas hilang punca pendapatan sejak perintah kawalan pergerakan dilaksanakan Mac lalu.”

Beliau juga gembira dengan peruntukan RM50 juta untuk menyelenggara dan membaik pulih kemudahan pelancongan di seluruh negara.

Katanya, beberapa pusat pelancongan di bawah Taman-taman Sabah (TTS) memerlukan penambahbaikan kerana kebanyakan infrastruktur agak “uzur”.

“Saya yakin dengan mempertingkatkan kemudahan infrastruktur yang ada, pastinya akan menarik lebih ramai pelancong, sekaligus membawa industri pelancongan di Sabah ke satu tahap lebih baik pada masa akan datang.”

Sementara itu, Persatuan Hotel Bajet Malaysia turut kecewa dengan Belanjawan 2021 kerana Putrajaya gagal menangani keperluan untuk industri pelancongan dan perhotelan terus bertahan selepas lanjutan PSU selama 3 bulan.

Presidennya, Emmy Suraya Hussein menggesa kerajaan melanjutkan moratorium pinjaman dan PSU secara automatik sehingga Jun tahun depan untuk industri itu.

Beliau memberi amaran kegagalan membantu industri itu terus bertahan boleh menyebabkan ramai pekerja hilang pekerjaan dan pengusaha menghentikan operasi mereka.

“Industri ini teruk terjejas dan akan menjadi yang terakhir untuk pulih. Kami juga berharap kerajaan akan menyediakan lebih banyak pelepasan cukai untuk industri dan pelancong domestik yang akan merangsang industri ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Tiada ulasan: