Isnin, 16 November 2020

Kerja dari rumah kurangkan risiko jangkitan COVID-19 .

PUTRAJAYA: Peningkatan kluster membabitkan tempat kerja menyumbang hampir separuh daripada jumlah kluster COVID-19 yang aktif di negara ini.

Kebimbangan wujud apabila pekerja membawa jangkitan ke tempat kerja atau perumahan pekerja yang sesak.

Sehubungan itu pendekatan bekerja dari rumah dilihat antara amalan yang boleh mengurangkan risiko jangkitan di tempat kerja.

Pakar Kesihatan Komuniti, Fakulti Perubatan, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Prof Dr Sharifa Ezat Wan Puteh, berkata antara pendekatan boleh diambil adalah majikan perlu memastikan pekerja yang hadir ke tempat kerja kurang daripada 50 peratus.

Beliau berkata, pilihan bekerja dari rumah juga perlu diberikan kepada kakitangan.

Prof Dr Sharifa Ezat Wan Puteh.
Prof Dr Sharifa Ezat Wan Puteh.

Katanya, majikan digalakkan untuk membenarkan tugasan diselesaikan menerusi aplikasi dalam talian bagi mengurangkan keperluan pekerja berada di pejabat.

"Pilihan bekerja dari rumah perlu ditawarkan tanpa tindakan disiplin atau potongan gaji dan sebagainya, asalkan hasil kerja sama atau dipersetujui bersama oleh pihak majikan.

"Mereka yang bergejala dan berisiko tinggi juga digalakkan untuk bekerja dari rumah kerana berkemungkinan menjangkiti atau dijangkiti selain meningkatkan risiko jangkitan teruk atau kematian," katanya kepada BH, hari ini.

Dr Sharifa Ezat berkata, bagi kakitangan yang perlu berada di pejabat atau tempat kerja pula, mereka perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

Beliau berkata, pekerja dinasihatkan untuk tidak singgah di mana-mana tempat ketika dalam perjalanan pergi atau pulang dari pejabat bagi mengurangkan risiko jangkitan.

Katanya, majikan juga perlu mengelakkan pekerjanya yang berada dalam zon merah untuk bertugas di pejabat.

Selain itu, pekerja dan kakitangan di tempat kerja berisiko seperti balai polis, hospital dan penjara, perlu menjalani ujian saringan berkala yang dibiayai oleh majikan.

Dr Sharifa Ezat yang juga Timbalan Dekan Jaringan, Penjanaan, Alumni, Fakulti Perubatan, berkata langkah itu penting bagi mengelakkan ada kakitangan yang positif COVID-19 tetapi tidak bergejala.

Ini kerana kira-kira 40 peratus daripada penghidap dikesan tidak menunjukkan sebarang simptom.

Mengulas mengenai kluster membabitkan sebuah klinik baru-baru ini, beliau berkata, masalah dihadapi petugas kesihatan seperti di klinik mahupun hospital adalah pesakit yang hadir tidak diketahui status kesihatan mereka.

Sebelum ini juga pernah dilaporkan sekumpulan kakitangan di Hospital Teluk Intan dijangkiti COVID-19 selepas ada kakitangan yang dijangkiti dari dalam komuniti.

Katanya, biarpun ada kenyataan dan peringatan diletakkan di luar klinik dan hospital mengenai siapa dan bagaimana seseorang boleh dijangkiti, adalah sukar untuk petugas terbabit benar-benar memastikan mereka bebas jangkitan kerana tiada saringan yang dibuat terlebih dahulu terhadap pesakit.

"Hanya pesakit yang mempunyai gejala batuk, demam, pesakit akan menjalani pembedahan dan wanita bersalin yang disaring.

"Jadi pesakit yang bukan dalam kategori itu akan dilihat sebagai kes biasa. Walhal kadang kala, mereka sebenarnya positif," katanya.

Dr Sharifa Ezat turut mencadangkan supaya kehadiran pesakit ke klinik disaring secara RTK-AG yang boleh mendapat keputusan dalam tempoh 24 jam.

Tiada ulasan: