Firdaus Azil
Undang-undang
tersebut menyatakan tanggungjawab mendaftarkan kelahiran tanpa mengira
taraf kewarganegaraan, keturunan atau latar belakang. -Gambar fail
KUALA LUMPUR:
Ibu atau bapa, atau mana-mana individu yang mengetahui mengenai sesuatu
kelahiran di negara ini, wajib untuk melakukan pendaftaran, menurut
Kementerian Dalam Negeri (KDN) dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat
hari ini.
KDN berkata, ia selaras dengan
Akta Pendaftaran Kelahiran dan Kematian 1957 (Akta 299) bagi Semenanjung
Malaysia, Ordinan Pendaftaran Kelahiran dan Kematian (Sabah Chapter
123) 1951 bagi Negeri Sabah, dan Ordinan Pendaftaran Kelahiran dan
Kematian (Sarawak Chapter 10) 1951 bagi Negeri Sarawak.
Ketiga-tiga
undang-undang tersebut jelas menyatakan tanggungjawab mendaftarkan
kelahiran berkenaan kepada JPN tanpa mengira taraf kewarganegaraan,
keturunan atau latar belakang, menurut Kementerian lagi.
“Bagi
kes pendaftaran kelahiran yang bapanya berada di luar negara akibat
terkandas, JPN akan melaksanakan urusan pengesahan identiti berkaitan
bagi membolehkan maklumat bapa direkodkan dalam Sijil Kelahiran.
“Sukacita
diingatkan agar individu yang mengemukakan permohonan pendaftaran
kelahiran berkenaan hendaklah membawa bersama dokumen pengenalan diri
ibu bapa, pengesahan kelahiran, Buku Rawatan Ibu Mengandung, dan dokumen
perkahwinan ibu bapa anak tersebut,” kata KDN lagi.
Kementerian
berkata demikian bagi menjawab soalan Nor Azrina Surip (Pakatan
Harapan-Merbok) yang meminta Menteri Dalam Negeri menyatakan sepanjang
wabak COVID-19, terdapat ibu warganegara Malaysia yang melaporkan tidak
dapat mendaftarkan kelahiran anak mereka tanpa kehadiran bapa bukan
warganegara yang terkandas di luar negara.
Selain
itu, beliau ingin mengetahui bagaimanakah pendaftaran kelahiran anak
yang dilahirkan di Malaysia kepada wanita warganegara Malaysia itu akan
diproses.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan