Jumaat, 20 November 2020

Kedah, Melaka, Johor, Terengganu tamat PKPB esok

MGF220720_SIDANG-DEWAN-RAKYAT-30
Ismail Sabri Yaakob.

KUALA LUMPUR – Kedah, Melaka, Johor dan Terengganu antara empat negeri ditamatkan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) mulai esok.

Bagaimanapun, atas faktor tertentu, beberapa daerah di dua negeri berkenaan masih kekal dengan pelaksanaan PKPB iaitu Kulim di Kedah, Kota Tinggi serta Mersing di Johor.

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, sidang khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) hari ini mendengar pembentangan dari Kementerian Kesihatan (KKM) berkenaan penilaian risiko selepas hampir dua minggu PKPB di seluruh negeri di Semenanjung kecuali Pahang, Kelantan dan Perlis.

Menurut beliau, sehingga 18 November lalu, situasi semasa di seluruh negara masih menunjukkan trend peningkatan kes positif Covid-19 dengan jumlah kes aktif dan kadar kebolehjangkitan masih lagi tinggi.

Namun katanya, terdapat beberapa negeri menunjukkan trend penurunan kes positif Covid-19 dan dalam keadaan terkawal iaitu di Kedah, Melaka, Johor dan Terengganu.

“Kedah sehingga dua hari lalu, hanya terdapat 85 kes aktif yang direkodkan dan keadaan adalah terkawal kecuali bagi daerah Kulim yang masih merekodkan 23 kes aktif.

“Atas nasihat dan penilaian risiko oleh KKM, sidang khas bersetuju agar PKPB di seluruh Kedah ditamatkan pada 21 November, kecuali bagi daerah Kulim.

“Ini bermaksud PKPB di seluruh daerah Kulim masih diteruskan,” katanya pada sidang media harian mengenai Covid-19, di sini, hari ini.

Bagi Melaka pula katanya, secara kumulatif sejak 5 November lalu, sebanyak 61 kes positif telah direkodkan, namun, sehingga 18 November hanya terdapat 48 kes aktif yang dilaporkan dengan keadaan adalah terkawal.

Oleh itu, kata beliau, kerajaan bersetuju pelaksanaan PKPB di seluruh Melaka ditamatkan mulai tengah malam ini.

“Bagi negeri Johor, sejak 5 November lalu sebanyak 82 kes positif direkodkan, manakala 16 November pula kes aktif menunjukkan penurunan dengan keadaan keseluruhannya terkawal kecuali daerah Kota Tinggi dan Mersing.

“Dua daerah ini masing-masing masih merekodkan 36 dan lapan kes aktif. Justeru, atas nasihat dan penilaian risiko oleh KKM, PKPB di seluruh Johor ditamatkan mulai tengah malam ini, kecuali Kota Tinggi dan Mersing,” katanya.

Menurut Ismail Sabri lagi, Terengganu juga secara kumulatifnya sejak 4 November lalu merekodkan 230 kes positif Covid-19, tetapi keadaan terkawal sehingga 17 November dengan hanya terdapat 19 kes aktif direkodkan.

“Memandangkan tiada kes sporadik dilaporkan dalam 14 hari kebelakangan ini, maka kerajaan bersetuju PKPB di Terengganu ditamatkan, juga mulai tengah malam ini.

“Sungguhpun begitu, walaupun PKPB di negeri ini ditamatkan, ia masih tertakluk di bawah SOP PKPP yang masih berkuatkuasa di seluruh negara. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: