- Oleh SITI NUR MAS ERAH AMRAN
BUTTERWORTH: Kegembiraan tujuh sekawan menyambut hari lahir berhampiran sebuah rumah ibadat di Mak Mandin, dekat sini semalam mengundang padah apabila mereka antara 37 individu yang dikompaun kerana mengingkari Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).
Kompaun RM1,000 setiap seorang itu dikeluarkan selepas polis menjalankan pemeriksaan mengejut Op Covid-19 di beberapa lokasi sekitar Seberang Perai Utara (SPU) bermula pukul 9 pagi.
Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd. Noor berkata, kesemua mereka yang masing-masing berusia 40-an tidak mengamalkan penjarakan fizikal semasa majlis berlangsung.
Selain itu, ujar beliau, seramai 30 individu lain turut dikompaun di kafe, gerai burger, gerai makan dan pasar awam atas pelbagai kesalahan.
“Antaranya berada di premis melebihi masa ditetapkan selain tidak mengamalkan penjarakan fizikal dan gagal memeriksa suhu sebelum memasuki premis.
“Kita ingin mengingatkan masyarakat supaya sentiasa mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan dalam bersama-sama mengekang pandemik Covid-19,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Menurut Noorzainy, kompaun itu dikeluarkan mengikut Peraturan 10 Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (No.8) 2020. – UTUSAN ONLINE
Tiada ulasan:
Catat Ulasan