Jumaat, 26 Jun 2020

PRU15 wajar diadakan jika 3 faktor gagal ditangani PN - Asyraf

Pemuda Umno meletakkan tiga indikator untuk mewajarkan kerajaan Perikatan Nasional (PN) membubarkan Parlimen bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Ketuanya, Dr Asyraf Wajdi Dusuki, berkata PRU15 harus menjadi pilihan terakhir jika beberapa senario dan faktor tersebut tidak dapat dibendung lagi.

Tiga perkara yang dimaksudkan beliau ialah usaha membeli wakil rakyat oleh pihak pembangkang, majoriti tipis dan kegagalan PN menepis persepsi dimainkan PH iaitu 'kerajaan tanpa mandat'.

"Kedudukan kerajaan yang rapuh dengan majoriti yang amat kecil membuka ruang spekulasi dan permainan persepsi sebagaimana yang dicetuskan oleh Anwar Ibrahim yang kononnya sudah memperolehi 129 sokongan ahli Parlimen.

"Kerajaan yang berterusan ditohmah dan dipersepsikan PH sebagai ‘kerajaan tanpa mandat rakyat’ akan menghakis keyakinan komuniti pelaburan dalam dan luar negara, sekali gus menyukarkan usaha memulihkan ekonomi negara, malah merencatkan perlaksanaan dasar-dasar penting untuk rakyat.

"Sekiranya ketiga-tiga faktor di atas tidak dapat dikekang dan dibendung lagi, kerajaan hakikatnya tidak banyak pilihan kecuali menyerahkan kembali mandat kepada rakyat untuk memilih pemimpin yang benar-benar ikhlas berjuang membela nasib mereka dan bukannya sekadar sibuk berebut kuasa," katanya kepada Malaysiakini.

Semalam, Timbalan Presiden Umno Mohamad Hasan menggesa Perdana Menteri Muhyiddin Yassin mengikut jejak Singapura membubarkan Parlimen bagi memberi laluan kepada PRU15.

Beliau berkata, langkah itu perlu bagi mengembalikan kestabilan politik negara supaya kerajaan yang dibentuk kelak akan mendapat mandat yang baik dan diyakini.

"Dalam konteks negara kita, adalah baik jika kerajaan Perikatan Nasional (PN) pimpinan Perdana Menteri, Muhyiddin Yassin juga melakukan perkara yang sama tanpa berlengah," tulis Mohamad dalam satu hantaran di Facebooknya.

Sementara itu, Anggota Majlis Tertinggi (MT) Umno, Mohd Puad Zarkashi menyokong saranan Mohamad supaya Malaysia ikut jejak Singapura dengan membubarkan Parlimen dan diadakan pilihan raya mengejut.

Jelasnya, Perdana Menteri Muhyiddin Yassin tidak mempunyai pilihan kerana PH sudah mengeluarkan untuk membawa usul undi tidak percaya dalam sidang Parlimen akan datang.

"Kerajaan pusat dan negeri boleh bertukar hanya melalui wayang politik dan beli membeli wakil rakyat. Dengan cara baru ini, kerajaan boleh bertukar dalam masa singkat hatta satu hari.

"Ini tidak baik dan ia tidak ada pengakhiran hingga ada pihak yang sanggup menjadi perdana menteri hanya untuk enam bulan.

"Kesiuman politik sudah tidak ada. Bagaimana negara mahu bergerak ke hadapan terutama dalam menangani cabaran pasca Covid-19," katanya.

Tiada ulasan: