Umpama “rumput yang sudah kering, ditimpa hujan segar kembali” - demikian menggambarkan perkhabaran yang disampaikan kerajaan dua hari lepas mengenai kebenaran spa dan pusat refleksologi beroperasi kembali bermula 1 Julai ini bagi kira-kira 3,000 juruterapi kurang upaya penglihatan di negara ini.
Ini kerana, sejak pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) bermula 18 Mac, disusuli PKP Bersyarat pada 4 Mei dan PKP Pemulihan pada 10 Jun, mereka langsung tiada pendapatan berikutan subsektor pelancongan itu dikecualikan kerajaan daripada beroperasi bagi membendung penularan COVID-19 di negara ini.
Mengulas keputusan kerajaan membenarkan kembali operasi subsektor itu, Ketua Pegawai Eksekutif Persatuan Bagi Orang Buta Malaysia (MAB) George Thomas berkata sepanjang hampir tiga bulan lepas, golongan berkenaan tidak dapat melakukan apa-apa pekerjaan untuk menampung kehidupan.
“Tidak seperti OKU lain, mereka terbatas pergerakan. Sepanjang tempoh PKP, kami turut memberi bantuan barangan runcit dan makanan kepada mereka di sekitar Kuala Lumpur bagi mengurangkan bebanan," katanya kepada Bernama di Kuala Lumpur.
Menurutnya, sebagai persediaan untuk beroperasi semula, MAB telah menyediakan prosedur operasi standard (SOP) untuk dipatuhi oleh pemain industri berkenaan demi menjamin keselamatan juruterapi dan juga pelanggan.
"SOP akhir masih di peringkat Majlis Keselamatan Negara (MKN), dan masih belum diserahkan kepada kami. Diharap ia akan diterima dalam tempoh sehari dua ini sebelum pusat urut berkenaan kembali beroperasi," katanya.
Beliau juga berharap kerajaan dapat menanggung kos saringan COVID-19 untuk golongan itu memandangkan sumbangan dan derma yang diterima pihaknya semakin berkurangan.
“Kita minta agar kerajaan beri mereka lakukan swab test secara percuma. Mereka ini tiada pendapatan, kos untuk buat ujian itu agak mahal sekitar RM300 selain perlu membeli barangan untuk operasi seperti pembelian pelitup separyh muka, sarung tangan dan sebagainya,” katanya.
Dalam pada itu, Thomas berkata bantuan sosial menerusi Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) bagi OKU dan ibu tunggal dengan pemberian RM300 secara sekali gus sebelum ini dapat mengurangkan beban golongan masyarakat dalam menghadapi waktu sukar tersebut.
Sementara itu, Hermi Abd Rahim, 42, meluahkan kesyukuran kerana dapat kembali bekerja setelah hampir tiga bulan tiada sumber pendapatan untuk menyara keluarga.
“Kita perlu fikir bagaimana untuk beroperasi semula dalam situasi ketika ini dengan mengamalkan setiap SOP yang akan digariskan. Kerajaan sudah buka laluan, jadi kena cuba juga walaupun agak asing,” kata anak jati Alor Setar, Kedah itu yang berkecimpung dalam bidang berkenaan sejak 1996.
Vanagopal Subramaniam, 36, yang berpengalaman hampir 15 tahun dalam bidang itu pula berharap agar kerajaan terus mempromosikan sektor tersebut kepada orang ramai.
"Saya harap kerajaan memberi perhatian agar sektor refleksologi dan urutan ini difahami kebaikannya dan orang ramai akan mencubanya," kata bekas atlet paralimpik lontar peluru itu.- Bernama
Tiada ulasan:
Catat Ulasan