Rabu, 24 Jun 2020

Hari pertama sekolah dibuka lancar, ibu bapa puas hati pelaksanaan SOP

Hanya 15 pelajar dibenarkan dalam satu kelas.

KUALA LUMPUR: Hari pertama pembukaan semula sekolah bagi pelajar bakal menduduki peperiksaan awam berjalan lancar dengan ibu bapa turut berpuas hati dengan prosedur operasi standard (SOP) yang dilaksanakan pihak sekolah.

Pengetua SMK Dato’ Onn di sini, Salina Shaari berkata pihaknya membuat persiapan sejak awal bulan ini dengan mengadakan mesyuarat atas talian dan bersemuka dengan guru serta pihak pengurusan sekolah sebanyak 8 kali.

“Dalam mesyuarat tersebut, kita meneliti SOP yang disediakan Kementerian Pendidikan. Berlandaskan SOP itu, kami merancang pula SOP yang bersesuaian dengan sekolah kami. Alhamdulillah, kami dapat laksanakan SOP pengoperasian bagi pelajar tingkatan 5 dengan kerjasama guru-guru.

Alat sanitasi tangan yang dicipta guru SMK Dato’ Onn
menggunakan paip PVC untuk kegunaan pelajar.

“Seperti apa yang dirancang, ia dilaksanakan dengan sempurna hari ini, cumanya peratusan pelajar yang hadir ke sekolah tidak 100%. Yang hadir lebih kurang 85% hari ini, dengan jumlah keseluruhan pelajar tingkatan 5 seramai 125 orang kesemuanya,” katanya kepada FMT.

Pada 10 Jun lalu, Menteri Pendidikan, Mohd Radzi Jidin mengumumkan sekolah dibuka semula hari ini untuk kira-kira 500,000 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Vokasional Malaysia (SVM), Sijil Tinggi Persekolahan (STPM), Sijil Tinggi Agama (STAM) dan peperiksaan antarabangsa.

Katanya, SOP yang dikeluarkan kerajaan akan ditambah baik dari semasa ke semasa, bergantung kepada isu berbangkit sepanjang sesi persekolahan.

Pelajar tak hadir

Salina yang lebih mesra dengan panggilan “bonda” dalam kalangan pelajar dan guru, berkata beliau sudah mengarahkan guru menghubungi pelajar untuk bertanyakan masalah atau sebab mereka tidak hadir ke kelas hari ini.

“Sebagai pengetua, saya harapkan kehadiran pelajar adalah 100% kerana mereka akan duduki SPM awal tahun depan. Kami akan sentiasa bantu pelajar.”

Mengenai perjalanan hari pertama persekolahan hari ini, Salina berkata, mereka menjalankan simulasi bagi menilai pelaksanaan SOP dan memaklumkan ibu bapa mengenai SOP yang perlu dipatuhi.

Keadaan di dalam bilik guru yang turut mengamalkan
penjarakan sosial 1m.

“Bagi SOP di bilik darjah, saya amat berpuas hati. Pelajar dapat dikawal dengan sempurna, di mana mereka mematuhi apa yang diminta oleh guru dan kedudukan tempat pelajar di dalam kelas juga tidak akan berubah. Alhamdulillah, pelajar SMK Dato’ Onn mematuhi SOP ditetapkan.”

Beliau bangga dengan kreativiti dan inisiatif guru mencipta alat sanitasi tangan menggunakan paip PVC dengan kos minimum dan efektif buat pelajar.

“Kita gunakan sumber-sumber yang ada dan kita reka alat sanitasi tangan dengan pijak kaki. Sekarang ini kami ada 3 alat berkenaan dan apabila sekolah dibuka secara berperingkat, kita akan sediakan lebih banyak lagi alat sanitasi tangan itu.”

Keyakinan ibu bapa

Yang di-Pertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru SMK Dato’ Onn, Mustafa Abu berkata pihaknya berpuas hati dengan persekitaran selamat yang disediakan untuk pelajar.

“SOP ditetapkan Kementerian Kesihatan ini dipatuhi pihak sekolah, ada alat sanitasi tangan, penjarakan sosial 1m itu dipatuhi dan saya sendiri sudah buat lawatan ke setiap kelas. Bahkan bilangan pelajar dalam kelas juga dihadkan 15 orang dalam 1 kelas.”

Beliau berharap ibu bapa akan yakin dengan pihak sekolah dan tidak bimbang untuk membenarkan anak kembali menyambung pelajaran di sekolah.

Pengetua SMK Dato’ Onn, Salina Shaari.

“Saya ingin nasihatkan ibu bapa supaya tidak terlalu risau untuk anak-anak mereka kembali ke sekolah. Segala SOP sudah dipatuhi sebelum, sewaktu dan selepas sesi persekolahan. Jadi, ibu bapa tidak perlu risau tentang keselamatan anak-anak di sekolah.”

Punithan Krishnan, 39, bapa kepada seorang pelajar tingkatan 5 di SMK Dato’ Onn berkata, beliau sendiri menasihatkan anaknya supaya mematuhi peraturan dan SOP ditetapkan.

“Saya ingatkan anak tentang apa perlu dibuat semasa berada di sekolah, tentang penjarakan sosial, sentiasa memakai topeng. Anak saya juga bersemangat ke sekolah sebabnya sudah lama tidak ke sekolah dan tidak bertemu rakan-rakan.”

Katanya, beliau membeli cecair pembasmi kuman dan topeng lebih kepada anaknya sebagai persediaan jika topeng dipakainya mengalami kerosakan ketika di sekolah.

“Sudah 3 bulan lebih anak tidak pergi ke sekolah, jadi hari ini agak panik juga kerana takut tentang keselamatan anak di sekolah. Tetapi, bila tengok persediaan dilakukan pihak sekolah, saya yakin kita boleh lepasi Covid-19.”

Tiada ulasan: