Ahad, 28 Jun 2020

Polis jelaskan ketua pengarang disiasat bawah Kanun Keseksaan

Polis menjelaskan bahawa ketua pengarang portal berita kesihatan CodeBlue, Boo Su-Lyn disiasat di bawah Seksyen 203A Kanun Keseksaan berkaitan kesalahan memberi maklumat.

"Siasat di bawah Seksyen 203A Kanun Keseksaan dan diambil statement pada 26 Jun 2020 jam 2 petang hingga selesai di IPD Putrajaya," kata Mazlan dalam kiriman pesanan ringkas.

Seksyen 203A berkaitan kesalahan mendedahkan maklumat atau perkara yang diperoleh seseorang semasa menjalankan tugasnya atau dalam menjalankan fungsinya berdasarkan undang-undang bertulis.

Ia juga berkaitan kesalahan mengetahui sesuatu maklumat atau perkara tersebut dan mendedahkannya kepada orang lain.

Sabitan untuk salah satu daripada kedua-dua kesalahan tersebut memperuntukkan hukuman denda sehingga RM1 juta atau penjara selama tempoh yang boleh berlanjutan sehingga satu tahun, atau kedua-duanya.

Ketika dihubungi untuk mendapatkan respons terhadap kenyataan Mazlan, Boo, bagaimanapun enggan memberikan komen atas nasihat peguamnya.

Dalam kenyataan dikeluarkan Jumaat lalu, Boo berkata beliau sedang disiasat di bawah OSA dan seksyen Kanun Keseksaan yang tidak didedahkan berkaitan empat siri artikel CodeBlue yang ditulisnya mengenai kebakaran di Hospital Sultanah Aminah di Johor Bahru.

Semalam Boo, mempertahankan artikel itu ditulis berdasarkan maklumat yang tidak lagi diklasifikasikan sebagai rahsia berdasarkan penemuan siasatan bebas terhadap insiden kebakaran pada 2016 yang meragut enam nyawa.

Artikel itu memetik bekas Menteri Kesihatan Dr Dzulkefly Ahmad sebagai berkata, penemuan dalam laporan 225 halaman yang dilihat CodeBlue itu tidak lagi diklasifikasi sebagai rahsia.

Penemuan itu berdasarkan siasatan bebas yang dilakukan oleh jawatankuasa dianggotai tujuh anggota diketuai bekas hakim Mahkamah Rayuan Mohd Hishamudin Yunus.

Ketika dihubungi, Hishamudin mendedahkan beliau juga dihubungi oleh polis baru-baru ini untuk merekod keterangannya berhubung siasatan yang sedang dijalankan.

Hishamudin juga mengatakan beliau dimaklumkan bahawa siasatan itu dijalankan di bawah Seksyen 203A Kanun Keseksaan dan bukan OSA.

Status sebenar laporan siasatan itu masih belum jelas dengan Hishamudin memberitahu Malaysiakini bahawa laporan itu tidak lagi diklasifikasi sebagai rahsia oleh kerajaan Pakatan Harapan pada 2 Oktober tahun lalu.

Namun, Dzulkefly dilaporkan memberitahu Dewan Rakyat pada 31 Oktober tahun lalu bahawa kabinet masih dalam proses mengubah status laporan tersebut sehingga dapat didedahkan kepada umum.

Malaysiakini telah menghubungi Dzulkefly untuk mendapatkan komen.

Tiada ulasan: