KUALA LUMPUR – Kebakaran yang berlaku di Wad Perubatan Perempuan 1, Hospital Sultanah Aminah Johor Bahru (HSAJB) pada jam 2.50 petang tadi berjaya dikawal.
Tiada sebarang kemalangan jiwa atau kecederaan serius dilaporkan berlaku, kata Pengarah Kesihatan Johor. Dr Aman Rabu.
Menurutnya, kejadian itu disedari oleh kakitangan serta waris yang berada di kawasan berkenaan seawal 2.50 petang dan pasukan Emergency Response Team (ERT) HSAJB berusaha memadam api.
Beliau berkata, bomba yang telah tiba di tempat kejadian pada jam lebih kurang 3.13 petang dan api berjaya dipadamkan pada kira-kira jam 3.17 petang.
Dr Aman memaklumkan wad perubatan ini adalah di bangunan satu tingkat di hadapan kawasan parkir dan bukan merupakan bangunan induk.
Pesakit dan waris telah dipindahkan ke lokasi lain untuk sementara waktu atas faktor keselamatan dan bagi memastikan kelangsungan perkhidmatan serta rawatan pesakit dapat diteruskan.
Tambahnya, perkhidmatan di HSAJB tidak terjejas dan masih diteruskan seperti biasa.
”Pihak berwajib sedang menjalankan siasatan lanjut untuk mengenal pasti punca kebakaran. Situasi semasa kejadian ini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa,” ujarnya.
Terdahulu, video dan gambar kebakaraan HSAJB tular di media sosial.
Netizen-netizen berkongsi video yang memaparkan para petugas hospital berkenaan memindahkan pesakit.
Kebakaran itu menyebabkan asap menyelubungi sekitar bangunan wad terbabit.
Kejadian ini merupakan kebakaran kali kedua HSAJB selepas Oktober 2016 yang mana wad unit rawatan rapi HSA terbakar, mengorbankan enam pesakit. – MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan