Khamis, 25 Jun 2020

Dari 790 kes memuncak 2,596 kes: Dr. Noor Hisham imbas 100 hari PKP

KETUA Pengarah Kesihatan Datuk Dr. Noor Hisham Abdullah mengimbas semula perjuangan negara menentang Covid-19 yang genap 100 hari selepas pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Dari 790 kes dan dua kematian semasa dikuatkuasakan pada 17 Mac angka jangkitan memuncak pada 5 April dengan 2,596 kes aktif dan menurun kepada 208 kes hari ini dengan 121 kematian.

“Pada 18 Mac 2020, jumlah kapasiti ujian makmal harian bagi RT-PCR adalah hanya 6,210 ujian. Selain itu, jumlah katil di hospital dan fasiliti bersesuaian, katil di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan alat pernafasan khusus untuk COVID-19 adalah masing-masing 4,433 buah katil, 273 buah katil dan 626 buah mesin.

“Kemuncak jumlah kes aktif bagi COVID-19 semasa fasa-fasa PKP adalah pada 5 April 2020 di mana terdapat 2,596 kes aktif, dengan jumlah keseluruhan kematian adalah 1.67 peratus daripada jumlah keseluruhan kes,” kata Dr. Noor Hisham.

Menurutnya, pada penghujung fasa keempat PKP pada 12 Mei jumlah kapasiti ujian makmal harian bagi PCR meningkat kepada 27,233 ujian iaitu kenaikan empat kali ganda.

Manakala jumlah katil di hospital, ICU dan alat pernafasan khusus untuk COVID-19 adalah masing-masing 8,794 buah katil (dua kali ganda), 438 katil (1.6 kali ganda) dan 1,097 buah mesin (1.75 kali ganda).

“Pada hari ini iaitu hari ke-100 sejak PKP dikuatkuasakan, negara telah mempunyai kebolehan menjalankan 36,812 ujian makmal RT-PCR (enam kali ganda berbanding sebelum PKP).

“KKM juga masih mempunyai 6,397 jumlah katil untuk Covid-19. Walaupun terdapat 442 katil ICU dikhususkan untuk pesakit Covid-19, kini ianya telah mula digunakan untuk pesakit-pesakit kes lain.

“Begitu juga dengan mesin-mesin ventilator memandangkan hanya terdapat 2 kes Covid-19 yang menggunakan ventilator,” kata Dr. Noor Hisham.

Menurutnya, jumlah kes aktif kini telah menurun kepada hanya 208 kes dan peratus kematian turut menurun kepada 1.4 peratus hari ini menandakan Malaysia berada dalam fasa pemulihan.

Tegas beliau, kejayaan meratakan lengkung graf kes Covid-19 dan juga mengurangkan penularan kes COVID-19 di dalam komuniti adalah hasil tindakan bersama semua pihak termasuk komuniti dan masyarakat.

“Kini, bagi memastikan negara pulih sepenuhnya dan berjaya menjalani fasa PKP Pemulihan ini, masyarakat perlu memainkan peranan yang lebih besar iaitu dengan mematuhi sepenuhnya segala nasihat yang diberi dan mematuhi Prosedur Operasi Standard (SOP) yang ditetapkan.

“Malaysia harus bersedia ke arah kehidupan normal dengan normal yang baharu. Patuhilah SOP dan bantulah Kerajaan dalam membantu kita semua. Kita perlu terus jaga kita, jaga keluarga kita, jaga komuniti dan masyarakat kita, dan jaga negara kita,” nasihat Dr. Noor Hisham.-SM

Tiada ulasan: