Isnin, 29 Jun 2020

Ada kemungkinan buku hina jata negara dilulus ketika zaman PH – ABATA

IMG_20200629_125309-681x341

PETALING JAYA – Penerbitan buku Rebirth: Reformasi, Resistance, And Hope In New Malaysia yang menggunakan logo mirip jata negara yang diubahsuai dipercayai diluluskan ketika pentadbiran Pakatan Harapan (PH).

Pengerusi Aktivis Belia Tanah Air (ABATA), Adnan Abu Bakar menegaskan kemungkinan itu wujud kerana buku itu mengajak golongan anak muda menuntut Malaysia baharu yang dilaung-laungkan pemimpin PH sebelum ini.

“Ada kemungkinan buku ini diluluskan ketika PH memerintah sebab untuk mengeluarkan sebuah buku ada proses dan ambil masa tertentu untuk dihasilkan.

“Kalau tengok buku ini, ia tak mungkin boleh siap dalam tempoh sebulan, untuk keluarkan buku, nak dapatkan lesen dia (ISDN).

“Sebelum buku ini boleh diterbitkan, ia perlu diaudit terlebih dahulu, minimum dua tiga bulan.

“Buku ini dilulus dan dikeluarkan pada kerajaan lepas dan mula diterbitkan sekarang. Kean Wong perlu bertanggungjawab,” katanya pada sidang media di luar pekarangan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya, hari ini.

Terdahulu Adnan bersama Ketua Setiausaha Gerakan Tuntut Malaysia (TUNTUT), Zulhelmi Mansor membuat laporan polis syarikat buku, Ilham Books yang mengiklankan buku kontroversi itu.

Buku suntingan penulis, Kean Wong mempamerkan sebuah logo mirip jata negara yang telah diubah suai sebagai penghias muka hadapan.

Lukisan mirip jata negara itu meletakkan seorang kanak-kanak berbogel di atas bulan dan bintang serta mengubahsuai bentuk dua ekor harimau, selain menambah bentuk seekor buaya di bahagian bawahnya.

Adnan juga tidak menolak kemungkinan buku terbabit cuba menghasut golongan anak muda agar bertindak agresif menghina kedaulatan negara melalui pengubahsuaian jata negara itu.

“Kita takut kalau tidak halang atau ambil tindakan terhadap apa yang mereka cuba lakukan, takut hasutan ini akan berleluasa.

“Bila tak ambil tindakan tegas, lepas ini orang akan berleluasa buat sesuka hati, generasi akan datang akan serang kerajaan.

“Akibatnya anak-anak muda selepas ini akan lebih agresif untuk menentang kerajaan dan negara,” katanya.

Kerajaan melalui Kementerian Dalam Negeri (KDN) turut didesak menyekat penyebaran dan pengedaran buku terbabit kerana ia didakwa mempromosikan doktrin tertentu.

“Penyebaran buku-buku ini dia akan mengundang satu bencana akan datang macam mana dia nak mendoktrin pemikiran anak muda, satu hari nanti kita tak tahu apa akan jadi kepada generasi akan datang.

“Sebab itu kita desak kerajaan ambil tindakan terhadap penerbit buku yang cuba dikeluarkan, malah sudah diedarkan pun, saya lihat dalam media sosial buku ini dijual dengan harga RM45.

“Sebab itu kita bimbang apabila buku ini tersebar ia boleh disalahgunakan oleh anak-anak muda,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: