MENTERI Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan berkata, pengambilan pekerja-pekerja asing dalam semua sektor dibekukan sehingga hujung tahun ini.
Beliau berkata, apabila pembekuan pengambilan pekerja asing dilakukan, itu membuka peluang pekerjaan kepada penduduk tempatan.
Dalam keadaan rakyat hilang pekerjaan, sudah pasti peluang yang ada, perlu diambil tanpa perlu bersikap terlalu cerewet.
Pengumuman menteri ini dilihat bertepatan kerana sudah cukuplah amalan ‘kera di hutan disusukan, anak di rumah mati kelaparan.’
Anjakan mentaliti membuka peluang pekerjaan kepada rakyat tempatan dalam keadaan sekarang dilihat bertepatan masanya.
Menurut Saravanan, pihaknya tidak akan membenarkan pengambilan pekerja asing dan mereka boleh datang ke Malaysia tetapi sebagai pelancong. Itu dibenarkan!
Melihatkan angka statistik pada ketika ini, Saravanan berkata, terdapat kira-kira 2 juta pekerja asing di negara ini.
Walaupun angka itu mungkin lebih tetapi anggaran itu pernah diberikan sekitar tahun 1990-an yang mana negara kita membuka pintu kepada pekerja asing untuk mengisi sektor pembinaan, perladangan dan pembantu rumah.
Jika hari ini, di tahun 2020, angka keberadaan pekerja asing dalam negara ialah 2 juta orang (kurang lebih) maka sudah tiba masanya, pekerjaan yang diisi oleh 2 juta pekerja asing itu, ‘dipulangkan’ semula kepada anak-anak tempatan, rakyat Malaysia.
“Kami berusaha mengurangkan pekerja asing selain daripada memberi keutamaan kepada penduduk tempatan untuk mendapatkan pekerjaan,” ujar Saravanan dalam menyakinkan rakyat bahawa masih ada peluang pekerjaan untuk mereka yang hilang pekerjaan.
Beliau menambah, kementeriannya akan menilai semula langkah memberi keutamaan pekerjaan kepada rakyat tempatan menjelang akhir tahun ini sekiranya itu dapat membantu rakyat di negara ini.
Pencari pekerjaan diharap dapat menerima peluang-peluang pekerjaan yang ada dan sekaligus mengelakkan negara terlalu bergantung kepada pekerja asing.
Nasihat Saravanan kepada penganggur di luar sana, jangan tunggu kerja yang sesuai kerana mungkin kerja yang sesuai itu tidak akan muncul dalam masa terdekat. – SM
Tiada ulasan:
Catat Ulasan