Tindakan mengejutkan Dr Mahathir Mohamad yang menyokong Presiden Warisan Shafie Apdal sebagai calon perdana menteri blok pembangkang telah meletakkan PKR dalam keadaan yang sukar.
PKR bersungguh-sungguh menolak Mahathir dan mendesak presiden parti Anwar Ibrahim untuk calon jawatan perdana menteri, walaupun sekutu Pakatan Harapan (PH) secara terbuka menggesa PKR untuk mempertimbangkan semula pendirian itu.
Sekarang, PKR berhadapan dengan alternatif lain, yang mana calon perdana menteri pembangkang bukan Mahathir atau Anwar dan nampaknya disokong oleh sebahagian besar blok itu.
Keputusan PKR yang memiliki 38 ahli parlimen akan menjadi kunci dalam menentukan sama ada cubaan mengambil alih kuasa daripada Perikatan Nasional akan berjaya atau tidak.
Ditanya adakah parti itu setuju dengan pencalonan Shafie, Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution mengesampingkan soalan berkenaan tetapi berkata PKR akan membincangkan masalah itu dengan sekutu di dalam PH.
"Saya juga diberi maklum Amanah dan DAP akan bawa kepada perbincangan PH.
"Sehingga perkara ini dibawa kepada PH, PKR akan memberikan pandangan dalam mesyuarat PH," katanya kepada Malaysiakini.
Mengulas lanjut, Saifuddin menyentuh mengenai pencanggahan dalam dakwaan Mahathir bahawa pemimpin Bersatu sekutunya, Warisan, DAP dan Amanah telah "sebulat suara" memutuskan untuk menamakan Shafie sebagai calon PM dalam pertemuan tidak rasmi pada 25 Jun.
“Rujuk kenyataan Tun, ketika Tun sebut “keputusan sebulat suara" mencadangkan Shafie, DAP dan Amanah pula menyebut bahawa mereka akan bawa ke mesyuarat parti masing-masing untuk dibincang dan dibuat keputusan.
“Kenyataan Tun ini juga bermaksud Tun sudah terkeluar dari "persaingan" untuk menjadi perdana menteri,” katanya.
Ketika ditanya mengenai ketidakhadiran PKR dalam pertemuan pada 25 Jun, Saifuddin berkata bahawa parti itu tidak dimaklumkan mengenainya.
Selain menyokong Shafie untuk jawatan tertinggi, Mahathir juga memilih anaknya Mukhriz Mahathir dan Anwar sebagai calon timbalan perdana menteri.
Percaturan itu berlaku ketika PH berdepan dengan kemelut selama seminggu antara Mahathir dan Anwar mengenai siapa yang seharusnya menjadi calon perdana menteri untuk di kalangan blok pembangkang.
PKR berpendapat bahawa negara itu memerlukan "permulaan baru" tanpa pemimpin berusia 90an, sementara penyokong Mahathir berpendapat bahawa Anwar tidak akan dapat memperoleh sokongan yang cukup dari Sabah dan Sarawak tanpa bantuan Mahathir.
Sekiranya Shafie berjaya memperoleh sokongan yang cukup di Dewan Rakyat, beliau akan melakar sejarah sebagai perdana menteri pertama dari Malaysia Timur.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan