Jumaat, 26 Jun 2020

MCMC akan tinjau perkampungan di Pakan, Sarawak berhubung perkhidmatan komunikasi

MCMC akan tinjau perkampungan di Pakan, Sarawak berhubung perkhidmatan komunikasi
MCMC juga sedar masih terdapat banyak kawasan yang belum mendapat liputan komunikasi menyeluruh dan stabil terutamanya di kawasan luar bandar.

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) akan membuat tinjauan di sebuah perkampungan di Pakan, Sarawak dalam tempoh terdekat bagi mendapatkan gambaran sebenar liputan perkhidmatan komunikasi di kawasan itu.

MCMC dalam satu kenyataan pada Khamis, memaklumkan ia ekoran kisah pelajar dan penduduk di kawasan berkenaan yang terpaksa keluar jauh dari kediaman mereka bagi mendapatkan liputan perkhidmatan komunikasi.

"Hasil tinjauan akan dipadankan dengan pelan pembangunan telekomunikasi yang telah dirancang untuk kawasan tersebut bagi membolehkan rakyat menikmati perkhidmatan komunikasi berkualiti, sekali gus memperbaiki taraf kehidupan mereka," kata kenyataan itu.

Menurut MCMC, setakat ini sebanyak 185 menara telekomunikasi baharu di bawah Pelan Gentian Optik dan Kesalinghubungan Negara (NFCP 2) akan mula dibina meliputi semua bahagian di Sarawak dan daripada jumlah itu, tujuh dirancang untuk dibina di Pakan, kesemuanya dijangka siap serta beroperasi sepenuhnya pada suku ketiga 2021.


Sementara itu, MCMC turut menjelaskan inisiatif peluasan liputan komunikasi merupakan usaha berterusan oleh agensi itu sejak dana Pemberian Perkhidmatan Sejagat (USP) mula diwujudkan pada 2003.

Sehingga Mei lepas, MCMC dengan kerjasama syarikat-syarikat telekomunikasi telah mendirikan sejumlah 553 menara telekomunikasi, selain menaik taraf 1,064 menara telekomunikasi kepada rangkaian 3G dan 4G di Sarawak.

MCMC juga sedar masih terdapat banyak kawasan yang belum mendapat liputan komunikasi menyeluruh dan stabil terutamanya di kawasan luar bandar.

"Selain bentuk muka bumi yang berbukit-bukau dan laluan masuk yang sukar, masalah ketiadaan bekalan elektrik juga menjadi cabaran kepada MCMC dan syarikat telekomunikasi untuk membina menara di kawasan pedalaman.

"Antara kaedah alternatif yang diguna pakai bagi mengatasinya ialah penggunaan rangkaian satelit dan bekalan janakuasa diesel yang menyebabkan liputan tidak stabil," katanya.

Sehubungan itu, MCMC menegaskan ia komited dengan misi untuk menyediakan perkhidmatan komunikasi yang menyeluruh kepada rakyat, terutamanya di kawasan luar bandar dalam usaha merapatkan jurang digital di seluruh negara.-- BERNAMA

Tiada ulasan: