Jumaat, 26 Jun 2020

Lebih 4,000 pekerjaan ditawar kepada peminjam PTPTN

Norlaile Abd Rahman
MGF25062020_MOU-PTPTN-PERKESO_03-681x454
Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr. Noraini Ahmad (dua kiri) bersama Menteri
Sumber Manusia, Datuk Seri M. Saravanan (dua kanan) menyaksikan Ketua
Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid (kiri) bertukar-tukar dokumen
perjanjian bersama Ketua Eksekutif PERKESO, Datuk Seri Mohammed Azman
Aziz Mohammed (kanan) pada Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman
Antara Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan
Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) di Kementerian Pengajian Tinggi,
Putrajaya. foto FAREEZ FADZIL

PUTRAJAYA- Sebanyak 4,609 kekosongan jawatan ditawarkan oleh 20 majikan dalam program Virtual Mini Job Hunt khusus kepada peminjam-peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Menurut Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid, Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) dan PTPTN memahami isu yang dihadapi oleh peminjam.

Dengan itu, kerjasama strategik menerusi program selama empat hari itu adalah langkah proaktif dan prihatin kepada peminjam bagi membantu mengatasi masalah mereka dalam mencari pekerjaan.

“Kami berharap menerusi program ini mereka dapat mencari pekerjaan yang sesuai dan mendapat pendapatan yang lebih baik,” katanya semasa sidang media selepas menghadiri pertukaran MoU bersama Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed.

Majlis disaksikan oleh Menteri Pengajian Tinggi Datuk Noraini Ahmad dan Menteri Sumber Manusia Datuk Seri M. Saravanan.

bercakap kepada media selepas Majlis Pertukaran Memorandum Persefahaman Antara Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), turut sama Ketua Eksekutif PERKESO, Datuk Seri Mohammed Azman Aziz Mohammed (kanan) di Kementerian Pengajian Tinggi, Putrajaya. foto FAREEZ FADZIL, 25 JUN 2020
Ketua Eksekutif PTPTN, Ahmad Dasuki Abdul Majid (kiri).

Virtual Mini Job Hunt yang berlangsung pada 30 Jun hingga 3 Julai ini turut menyediakan ceramah webinar mengenai kebolehpasaran pekerjaan yang akan diadakan secara maya pada 30 Jun hingga 1Julai 2020.

Manakala sesi temuduga terbuka yang juga diadakan secara dalam talian akan berlangsung pada 2 Julai hingga 3 Julai ini bermula 9.30 pagi hingga 4.30 petang.

Peserta yang berminat boleh mula mendaftar pada 25 Jun sehingga sebelum 4 petang pada 3 Julai 2020.

Pendaftaran boleh dibuat melalui https://careerfair.perkeso.gov.my dan tiada bayaran yang dikenakan untuk mendaftar.

Calon-calon yang layak akan diberikan pautan masuk ke ruang lobi temuduga.

Tegas Ahmad Dasuki, program pencarian kerja ini bukan bermakna PTPTN akan membuat bayaran secara potongan gaji secara automatik kepada calon yang berjaya mendapatkan pekerjaan.

Sekiranya terdapat calon yang berminat untuk membuat pembayaran pinjaman secara pemotongan gaji, mereka masih perlu membuat permohonan seperti biasa iaitu melalui laman web www.ptptn.gov.my.

Sekiranya majikan tidak menyediakan perkhidmatan potongan gaji, peminjam boleh membuat bayaran balik menggunakan saluran lain.

Menurut Ahmad Dasuki, pendekatan melalui inisiatif KPT Prihatin mendengar permasalahan dan keluhan daripada graduan khususnya peminjam tanpa mengabaikan kelestarian pinjaman PTPTN kepada generasi akan datang.

Ini katanya akan menghasilkan situasi menang-menang (win-win situation) kepada semua pihak merangkumi peminjam, PTPTN dan kerajaan.

“Jalinan kerjasama di antara agensi di bawah KPT dan Kementerian Sumber Manusia ini diharap bukan sahaja dapat memberi manfaat kepada para graduan yang merupakan peminjam PTPTN dan pihak majikan, malah mampu mengurangkan kadar pengangguran di kalangan graduan politeknik dan institusi pengajian tinggi khususnya dan masyarakat Malaysia amnya,” katanya lagi.- MalaysiaGazette

Tiada ulasan: