Memaparkan catatan dengan label PRK - CINI. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label PRK - CINI. Papar semua catatan

Selasa, 7 Julai 2020

Najib, Zahid kuasa sebenar dalam BN

Presiden Umno, Zahid Hamidi dan bekas perdana menteri, Najib Razak.

PETALING JAYA: Seorang penganalisis politik berpandangan keputusan pilihan raya kecil Chini mengesahkan kekuatan politik bekas perdana menteri Najib Razak serta kepintaran politik Presiden Umno, Zahid Hamidi.

Azmi Hassan dari Universiti Teknologi Malaysia berkata mereka kuasa sebenar dalam Barisan Nasional.

Beliau berkata nyata sekali Najib memiliki sokongan akar umbi, dan itu memainkan peranan penting di Chini dan pilihan raya kecil lain yang dimenangi BN sejak pilihan raya umum lalu.

“Dalam pilihan raya kecil semasa era Pakatan Harapan, Najib aktif berkempen dan menarik orang ramai.

“Ini juga boleh dilihat di Chini, apabila PH tidak lagi berkuasa. Najib ada pengaruh politik yang kuat, bukan saja di Pekan atau Pahang, tetapi juga di peringkat persekutuan.”

Mengenai Zahid, Azmi berkata beliau menunjukkan kebolehan menentukan hala tuju BN dan berunding dengan parti lain, termasuk PPBM dan Perikatan Nasional.

“Langkah Zahid menghimpunkan Umno dan PAS bersama dalam Muafakat Nasional terbukti antara sebab utama di sebalik kebangkitan BN.”

Katanya, kemenangan BN di Chini melakarkan kekuatan Muafakat Nasional, terutama dalam kalangan pengundi Melayu di luar bandar.

Mohd Sharim Md Zain dari BN menang pilihan raya kecil itu pada Sabtu dengan majoriti 12,650 undi ditentang calon Bebas, Tengku Zainul Hisham Tengku Hussin dan Mohd Shukri Mohd Ramli, masing-masing meraih 1,222 dan 137 undi.

Najib, yang juga ahli Parlimen Pekan, mengisytiharkan BN menang sebelum keputusan rasmi diumumkan.

Tetapi Azmi berkata masih belum jelas bagaimana Umno akan menghadapi pilihan raya umum akan datang kerana Zahid tidak mendedahkan apa-apa dan senario politik semasa “boleh berubah”.

“Saya fikir akar umbi lebih cenderung ke arah Muafakat Nasional berbanding Perikatan Nasional, tetapi Muafakat Nasional tidak boleh bergantung pada sokongan orang Melayu sahaja. Pemimpin Umno berbeza pandangan dalam strategi ini.”

Memandangkan tidak ada tanda-tanda Najib mahukan jawatan presiden parti, Azmi berkata Zahid nakhoda Umno dan BN.

“Tetapi dalam Umno, majlis tertinggi juga berpengaruh dalam menentukan hala tuju Umno, dan kebiasaannya ia ikut kemahuan akar umbi. Jadi Zahid perlu berhati-hati dalam menentukan langkah Umno dan BN seterusnya.”

Seorang penganalisis, Mohd Izani Mohd Zain dari Universiti Putra Malaysia, berkata impak Najib tidak boleh dinafikan.

Tetapi ini tak bermakna Najib – atau Zahid – yang harus mengetuai parti itu atau menjadi calon Umno untuk jawatan perdana menteri.

“Parti itu perlu keluar dari bayang-bayang Najib dan Zahid dan tampilkan seorang pemimpin baru yang boleh diterima sebagai alternatif kepada Perdana Menteri Muhyiddin Yassin,” katanya.

Sivamurugan Pandian dari Universiti Sains Malaysia berkata keputusan PRK Chini bukan sahaja kemenangan BN tetapi juga Muafakat Nasional dan Najib.

“Pengundi nampak Najib pada BN dan Muafakat Nasional dan ini jadi undi,” tambahnya.

Beliau berkata Najib main peranan penting dengan jenama “Bossku” dan catatan media sosial.

Ahad, 5 Julai 2020

Calon Bebas hilang deposit, BN pertahan DUN Chini dengan majoriti lebih 12,000 undi

Pegawai pengurus pilihan raya, Zaliza Zulkipli bagi PRK DUN Chini
mengumumkan calon BN Mohd Sharim Md Zain mendapat 13,872 undi,
menewaskan 2 calon Bebas, iaitu Tengku Zainul Hisham Tengku Hussin
dan Mohd Shukri Mohd Ramli. (Gambar Bernama)

PETALING JAYA: Barisan Nasional (BN) berjaya mengekalkan kerusi DUN Chini dengan majoriti lebih besar sebanyak 12,650 undi.

Pegawai pengurus pilihan raya, Zaliza Zulkipli bagi PRK Chini mengumumkan Mohd Sharim Md Zain mendapat 13,872 undi, menewaskan 2 calon Bebas, iaitu Tengku Zainul Hisham Tengku Hussin dan Mohd Shukri Mohd Ramli.

Tengku Zainul sekadar meraih 1,222 undi dan Shukri mendapat 137 undi sekali gus menyaksikan kedua-duanya hilang wang deposit.

Zaliza berkata, terdapat 239 undi rosak dan peratusan keluar mengundi selepas semua 65 pusat mengundi ditutup 5.30 petang ialah 73.87%

Seramai 20,816 daripada 20,972 pengundi biasa layak mengundi dalam PRK kali ini, manakala 156 orang mengundi secara pos.

Ini adalah kemenangan ke-6 BN daripada 9 PRK yang diadakan sejak pilihan raya umum ke-14 pada Mei 2018.

BN sebelum ini menang di PRK Parlimen Cameron Highlands, Semenyih, Rantau, Tanjung Piai dan Kimanis.

Ia juga merupakan kemenangan pilihan raya pertama gabungan kerajaan Perikatan Nasional (PN) yang terbentuk berikutan tumbangnya pentadbiran Pakatan Harapan (PH) pada Februari lepas.

PRK DUN Chini diadakan berikutan kematian penyandangnya Abu Bakar Harun, 60, pada 6 Mei lalu di Hospital Kuala Lumpur akibat serangan jantung.

Abu Bakar menjadi wakil rakyat kawasan itu sejak pilihan raya umum ke-11.

Pada PRU-14 lalu, Abu Bakar menang dengan majoriti 4,622 undi selepas memperoleh 10,027 undi menewaskan calon PAS Mohd Fadhil Noor Abdul Karim yang mendapat 5,405 undi manakala Mohamad Razali Ithnain dari PKR sekadar memperoleh 1,065 undi.

Adun baru Chini ikrar tiada penduduk setempat diabai kerajaan

Mohd Sharim Md Zain (tengah) sedia belajar dan berhasrat menjadikan Menteri
Besar Pahang, Wan Rosdy Wan Ismail (kiri) dan Ahli Parlimen Pekan, Najib
Razak sebagai mentornya. (Gambar Bernama)

PEKAN: Mohd Sharim Md Zain yang memenangi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini, mahu memastikan tiada masyarakat di kawasan itu tersisih daripada perhatian kerajaan.

Menyifatkan masa untuk bekerja sudah bermula sebaik saja diisytiharkan sebagai pemenang, Sharim, 41, berkata misi utamanya ialah menyelesaikan permasalahan penduduk dan beliau akan menemui semua pemimpin masyarakat setempat.

Mengakui dirinya masih mentah dalam hal politik, Sharim, yang merupakan generasi kedua Felda Chini 3, berkata beliau sedia belajar dan berhasrat menjadikan Menteri Besar Pahang, Wan Rosdy Wan Ismail dan Ahli Parlimen Pekan, Najib Razak sebagai mentor.

“Alhamdulillah, semuanya berakhir dengan baik untuk BN (Barisan Nasional). Sekarang adalah masa untuk belajar dan bekerja. Saya mohon diberikan masa untuk saya menyesuaikan diri memandangkan pemilihan saya (sebagai calon) juga tidak pernah diimpikan.

“Tapi, saya berjanji akan melakukan sehabis baik dan mohon semua yang lain untuk sama-sama mendoakan saya supaya terus istiqamah dalam perjuangan,” katanya semasa ditemui Bernama di pusat penjumlahan undi di Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Pekan malam tadi.

Beliau mengucapkan terima kasih kepada semua pengundi yang memberikan sokongan kepadanya sehingga menang besar dalam PRK itu, iaitu dengan majoriti 12,650 undi yang diakuinya melebihi jangkaan.

Katanya, jumlah itu tidak boleh dicapai jika pengundi luar tidak pulang menunaikan kewajipan mereka, menyebabkan beliau secara peribadi amat terharu dengan sokongan tersebut.

Selain pengundi, beliau turut mengakui terhutang budi dengan jerit perih jentera PRK itu yang bukan hanya melibatkan BN, tetapi juga PAS dalam kerjasama Muafakat Nasional serta Perikatan Nasional.

“Mereka bertungkus-lumus dalam tempoh 2 minggu ini untuk memastikan kemenangan BN. Walaupun hanya dicabar calon bebas, kami sentiasa berpegang kepada pesanan pimpinan atasan parti supaya tidak alpa atau memandang ringan kemampuan mereka.

“Semangat muafakat semua membuahkan hasil apabila BN memperoleh kemenangan dengan majoriti yang sangat besar dan ini membuktikan tiada yang mustahil jika kami semua bekerjasama.”

Sharim mempertahankan kerusi milik BN itu selepas memperoleh 13,872 undi dengan menewaskan Tengku Zainul Hisham Tengku Hussin, 64, yang mendapat 1,222 undi dan Mohd Shukri Mohd Ramli memperoleh 137 undi.

Kedua-dua calon bebas itu hilang wang deposit.

PRK DUN Chini diadakan ekoran kematian penyandangnya, Abu Bakar Harun, 60, pada 7 Mei lalu akibat serangan jantung.

Sabtu, 4 Julai 2020

Inilah kuasa rakyat, kejayaan PRK Chini kejayaan bersama – Najib

KEMENANGAN calon Barisan Nasional Mohd Sharim Md Zain pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini disifatkan sebagai membawa isi hati dan mesej daripada rakyat.

Menurut bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, kemenangan yang dibantu oleh rakan-rakan dalam Perikatan Nasional itu jelas menunjukkan kuasa rakyat.

“Pelbagai perkara dalam pertimbangan sebelum memangkah di kertas undi. Prestasi lepas, isu semasa dan jaminan masa depan. Ya, inilah dia kuasa rakyat.

“Bagi kita, pilihan raya bagaikan satu temuduga besar. Kita bawa rekod pencapaian, kita jelaskan perjuangan semasa, kita bentangkan masa depan yang akan diusahakan. Rekod dan sumbangan Barisan Nasional jelas. Pembangunan dan kebajikan,” kata Najib.

Jelas Najib, kemenangan PRK DUN Chini juga menunjukkan Muafakat Nasional iaitu kerjasama antara Pas dan komponen BN iaitu UMNO, MIC dan MCA semakin menjadi pilihan rakyat.

Malah Najib juga menegaskan, kejayaan BN turut disumbangkan dengan sokongan Presiden dan Pemangku Pengerusi Bersatu Tan Sri Muhyiddin Mohd. Yassin, kepimpinan dan seluruh akar umbi Bersatu di Pekan, Pahang.

“Kepada rakan-rakan kita dari PAS. Presiden Tuan Guru Datuk Seri Hadi Awang, Timbalan Presiden Tuan Ibrahim Tuan Man, Setiausaha Agung Datuk Takiyuddin Hassan, seluruh barisan kepimpinan PAS serta ahli-ahli PAS.

“Kejayaan di Chini adalah kejayaan yang kita capai bersama. Tanpa sumbangan tenaga, masa dan sokongan saudara-saudari, tidak mungkin akan begitu lancar dan berjaya.

“Ditambah pula kali ini dengan sokongan Presiden dan Pemangku Pengerusi PPBM Tan Sri Muhyiddin Yassin, pemimpin-pemimpin kanan PPBM dan seluruh akar umbi di Pekan,” kata Najib.

Mohd. Sharim memperoleh 13,872 undi mengatasi dua calon Bebas iaitu Datuk Tengku Zainul Hisham Tengku Hussin (1,222 undi) dan Mohd Shukri Mohd Ramli (137 undi).

Mohd. Sharim menang dengan majoriti besar 12,650 undi selepas semua 67 kotak undi dikira.

Ini adalah kemenangan pertama Barisan Nasiona dalam pilihan raya selepas membentuk Kerajaan Persekutuan dengan gabungan parti lain dalam Perikatan Nasional pada Mac lalu.

Kemenangan PRK Chini juga merupakan kemenangan keenam berturut-turut BN selepas kejayaan di PRK Cameron Highlands,PRK Semenyih, PRK Rantau, PRK Tanjung Piai dan PRK Kimanis.

Pada Pilihan Raya Umum Ke-14, penyandang kerusi itu Allahyarham Datuk Seri Abu Bakar Harun dari Barisan Nasional menang dengan majoriti 4,622 undi selepas memperoleh 10,027 undi.

“Legasi Allahyarham Datuk Seri Abu Bakar Harun akan kita teruskan. Terima kasih kerana memberikan keyakinan sekali lagi kepada Barisan Nasional.

“Terima kasih kerana memberikan peluang kepada Mohd Sharim Md Zain untuk menjadi wakil rakyat DUN Chini. Saya yakin Mohd Sharim akan berkhidmat dengan penuh tanggungjawab dan cemerlang.

“Rakyat telah bersuara. Selangkah demi selangkah. Satu demi satu kemenangan rakyat. Hidup rakyat! Hidup rakyat! Hidup rakyat!” kata Najib.

PRK DUN Chini diadakan berikutan kematian Abu Bakar 60, pada 6 Mei lalu di Hospital Kuala Lumpur akibat serangan jantung. Abu Bakar menjadi wakil rakyat kawasan itu sejak Pilihan Raya Umum ke-11.

Beliau menewaskan calon PAS Mohd Fadhil Noor Abdul Karim yang mendapat 5,405 undi manakala Mohamad Razali Ithnain dari PKR sekadar memperoleh 1,065 undi.-SM

Tidak rasmi: BN menang besar, kekal kuasai Chini

MALAYSIAKINI

Malaysiakini

PRK CHINI | BN menang besar dalam pilihan raya kecil Chini berbanding dua calon bebas, berdasarkan kiraan undi tidak rasmi yang masih berlangsung.

Ketika laporan ini ditulis, Mohd Sharim Md Zain daripada BN meraih 13,198 undi daripada keseluruhan 20,990 pengundi berdaftar di kerusi DN itu.

Parti pembangkang tidak mengambil bahagian dalam PRK yang diadakan ketika wabak Covid-19 yang menyaksikan SOP batasan berkempen.

Calon bebas PRK Chini Tengku Zainul Hisham Tengku Hussin dan Mohd Shukri Mohd Ramli masing-masing setakat ini mendapat 1,157 dan 133 undi.

Tengku Zainul ialah timbalan ketua Bersatu Bahagian Pekan tetapi secara automatik dipecat kerana melanggar perintah partinya untuk tidak bertanding dalam pilihan raya kecil ini.

Ahli Parlimen Langkawi Dr Mahathir Mohamad, yang mengetuai satu lagi kem Bersatu yang tidak berpihak kepada PN, telah menyokong Tengku Zainul.

Menariknya Tengku Zainal menang lebih banyak undi daripada yang pernah diraih PKR pada PRU14, walaupun sebelum pengiraan undi berakhir.

Pada pilihan raya 2018, Abu Bakar Harun dari Umno yang mewakili BN di Chini menang dengan 10,027 undi berbanding PAS Mohd Fadhil Noor Abdul Karim 5,405 undi. Calon PKR, Mohamad Razali Ithnain menduduki tempat ketiga dengan 1,065 undi.

PAS dan Umno kini sebahagian daripada kerajaan PN. Pilihan raya kecil diadakan setelah Abu Bakar, 60 meninggal dunia pada 7 Mei. Hari penamaan calon pada 18 Jun lalu dan kempen berlangsung selama dua minggu.

Peratusan keluar mengundi pada hari ini adalah sebanyak 74 peratus, bermakna tinggal 1044 undi lagi yang belum dikira.

PRK DUN Chini: Pengundi Tak Terbeban Dengan Kebiasaan Baharu

UMNO ONLINE

PEKAN – Kebiasaan baharu yang perlu dipatuhi ekoran pandemik wabak COVID-19 pada hari pengundian Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini dirasakan tidaklah membebankan pengundi, sebaliknya lebih memudahkan pengundi melaksanakan tanggungjawab mereka.

Pengundi yang ditemui Bernama mengakui kebiasaan baharu menjadikan proses pengundian berjalan lancar dan lebih pantas, jika hendak dibandingkan dengan pengalaman mereka mengundi pada beberapa Pilihan Raya Umum (PRU) sebelum ini.

Seorang pengundi Orang Kurang Upaya (OKU) Mohd Ali Ismail Ideris, 32, yang mengundi di Kelas Al-Quran dan Fardu Ain (KAFA) Felda Chini 3 dekat sini juga berharap beberapa pembaharuan yang dibuat pada PRK itu dapat diteruskan masa akan datang kerana ‘lebih mesra’ kepada golongan sepertinya.

“Hari ini saya datang mengikut waktu cadangan diberikan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) dan saya tak perlu menunggu lama. Semuanya selesai dalam tempoh kurang 10 minit walaupun perlu melalui saringan suhu dan sebagainya.

“Mudah sebab sudah tahu saluran mana hendak dituju. Kalau dahulu, saya pernah menunggu selama setengah jam untuk menunggu giliran (mengundi) walaupun datang seawal jam 8 pagi kerana semua orang tiba di pusat mengundi pada waktu yang sama,” katanya kepada Bernama.

Mohd Ali Ideris yang kehilangan kaki kanan akibat kemalangan motosikal 12 tahun lalu menambah bantuan daripada kakitangan SPR amat membantu walaupun terdapat beberapa ‘aturan’ baharu pergerakan dalam pusat mengundi bagi mengelakkan pengundi bersesak di tempat sama.

Bagi warga emas Felda Chini 3, Salmah Sidek, 76, yang menggunakan kerusi roda pula berkata pengalaman mengundi pada hari ini, menjadi pengalaman baharu kepadanya sejak mula menunaikan tanggungjawab itu sejak usia 20-an.

“Mudah kerana ada orang (kakitangan SPR) tolong bantu termasuk memakaikan sarung tangan sebelum saya mengundi… kalau sebelum ini, jari dicelup ke dalam dakwat kekal selepas selesai (mengundi), tapi kali ini mereka gunakan berus untuk menyapu dakwat ke jari. Lain sikit sahaja,” katanya.

Bagi pekerja swasta, Mohd Asrul Ishak, 39, yang bertolak dari Cheras, Kuala Lumpur pada 4 pagi tadi untuk mengundi juga memuji perjalanan proses pengundian hari ini kerana ‘susunan yang cantik’ sehingga tidak ada berlaku kesesakan di mana-mana bahagian dalam pusat mengundi.

Ini, menurut Mohd Asrul termasuklah di khemah saringan suhu, ruang menunggu dan kaunter rekod kehadiran selain kehadiran anggota polis untuk mengingatkan semua pengundi supaya menjaga aspek jarakan sosial. – BERNAMA

Jumaat, 3 Julai 2020

KKM tempat 140 petugas kesihatan dalam PRK Chini Sabtu ini

Timbalan Menteri Kesihatan Dr Noor Azmi Ghazali berkata, pengundi bergejala yang
datang ke pusat mengundi pada Sabtu ini tetap akan dibenarkan mengundi, tetapi
dengan pengawasan ketat daripada KKM. (Gambar Bernama)

PEKAN: Kementerian Kesihatan (KKM) akan menempatkan hampir 140 petugas sewaktu hari pengundian pilihan raya kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini Sabtu ini.

Timbalan Menteri Kesihatan Dr Noor Azmi Ghazali berkata, ia termasuk 6 orang petugas kesihatan di semua 13 pusat mengundi, yang terdiri daripada 4 doktor dan 2 pembantu persekitaran awam.

“Petugas kesihatan akan memantau pelaksanaan prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi membendung penularan wabak Covid-19.

“KKM bersedia. Semua orang sudah diberi taklimat dan semua perkara telah disiapkan. Kita akan sediakan petugas yang berpengalaman dan terlatih,” katanya kepada pemberita selepas program Ziarah Prihatin Bersama Rakyat Chini dekat sini, hari ini.

Beliau berkata, 3 ambulans akan turut ditempatkan di dalam kawasan DUN Chini Sabtu ini, sebagai persediaan jika berlaku kecemasan berkaitan dengan PRK berkenaan.

Noor Azmi berkata, pengundi bergejala yang datang ke pusat mengundi pada Sabtu ini tetap akan dibenarkan mengundi, tetapi dengan pengawasan ketat daripada KKM.

Katanya, setiap pengundi perlu menjalani pemeriksaan suhu, sanitasi tangan dan diberi sarung tangan sebelum mengundi.

“Andai kata sesiapa yang didapati bergejala, mereka akan ditempatkan di khemah khas. Pasukan kesihatan yang ada akan buat pemeriksaan rapi dan jika ada keperluan untuk dirujuk ke hospital, mereka akan dirujuk secepat mungkin,” katanya.

Seramai 20,816 orang daripada 20,972 orang pengundi biasa layak mengundi Sabtu ini, manakala 156 orang lagi mengundi secara pos.

PRK DUN Chini menyaksikan pertandingan 3 penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) Mohd Sharim Md Zain, 41, dan 2 calon Bebas Tengku Zainul Hisham Tengku Hussin, 64, dan Mohd Shukri Mohd Ramli, 49.

Isnin, 29 Jun 2020

Keluarga percaya Mohd Sharim boleh jadi ADUN yang baik

Muhammad Azizul Osman
MGF21062020_TEMUBUAL-CALON-BN-PRK-CHINI01-681x454
Temubual eksklusif bersama calon Barisan Nasional (BN), Mohd Sharim
Md Zain sempena sempena Pilihan Raya Kecil N. 23 Chini di Pusat Latihan
Chini, Pahang. foto AFFAN FAUZI

CHINI – Bapa mana yang tidak bangga dengan pencapaian anak sendiri.

Md Zain Hashim, bapa kepada calon Barisan Nasional (BN), Mohd Sharim berkata, dia pada mulanya tidak percaya anaknya dipilih sebagai calon mewakili Barisan Nasional (BN) bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini.

Peneroka Felda generasi pertama itu berkata, besar harapannya agar anaknya boleh mengikut jejak Allahyarham Datuk Seri Abu Bakar Harun menjadi ADUN yang bagus kerana beliau sungguh sayang kepada Mohd Sharim.

Ke mana sahaja Allahyarham pergi Mohd Sharim akan ada bersamanya.

“Saya percaya dia boleh jadi ADUN yang bagus kalau ada orang yang bijak pandai mengajar dia cara menjadi wakil rakyat.

“Pak cik sungguh bangga. Hanya tuhan yang tahu apa dalam hati saya ketika ini.,” katanya eksklusif kepada MalaysiaGazette.

Md Zain berkata, beliau perasan tentang minat untuk terjun ke bidang politik apabila anak keduanya itu sering bersama Abu Bakar sehinggalah menjadi orang kanan kepada Allahyarham.

“Saya nasihatkan dia supaya menjalankan tugas dengan baik jika dipilih sebagai ADUN. Saya yakin dia boleh boleh bawa gelaran ADUN jika dia menang sebab dia sudah lama bersama bekas ADUN Chini,” katanya lagi.

MGF20062020_TEMUBUAL-IBUBAPA-ISTERI-CALON-BN-PRK-CHINI07-1024x683
Temubual eksklusif bersama bapa calon Barisan Nasional,
Md Zain Hashim sempena Pilihan Raya Kecil N. 23 Chini
di Felda Chini 3, Pahang. foto AFFAN FAUZI,

Individu lain yang paling berbangga dengan pencapaian Mohd Sharim pastinya isteri beliau, Norhiliyana Abd Hamid, 27 tahun.

Norhiliyana memberitahu beliau tahu tentang pencalonan suaminya itu menerusi siaran live Facebook.

“Dia maklumkan kepada saya selepas pengumuman calon.

“Saya tengok live Facebook sahaja, memang mengalir air mata sebab tak sangka dan terkejut sangat.

“Sepanjang dia menguruskan PDM, dia ada juga berkongsi cerita. Tapi dia pun tak sangka dicalonkan,” katanya.

MGF20062020_TEMUBUAL-IBUBAPA-ISTERI-CALON-BN-PRK-CHINI03-1024x680
Temubual eksklusif bersama isteri calon Barisan Nasional,
Norhiliyana Abd Hamid sempena Pilihan Raya Kecil N. 23
Chini di Felda Chini 3, Pahang. foto AFFAN FAUZI

Sementara ibu Mohd Sharim pula berkata, anaknya berkelakuan aneh pada malam sebelum nama calon diumumkan.

Sopaih Mat, 68, berkata: “Saya tengok pada malam Rabu, dia tidak dapat tidur. Dia tak pernah peluk bapa dia tiba-tiba malam itu dia peluk. Apa jadi dengan anak aku”.

Ternyata firasatnya betul apabila anaknya itu dipilih sebagai calon pengganti Abu Bakar.

Menceritakan perihal Mohd Sharim, Sopaih berkata, anaknya hanya meminati bidang sukan di sekolah dan tidak dalam bidang politik.

Bagaimanapun, beliau mengetahui niat anaknya untuk terjun dalam bidang politik selepas menunaikan ibadah umrah.

“Dia minat politik bila dia balik umrah dan dia bagitahu saya dia berhajat nak jadi pemimpin pada masyarakat, itu yang buat saya terkejut.

”Dia rapat dengan Allahyarham Datuk Seri Abu Bakar, dia pernah beri amanat kalau tidak ada orang lain jadi pengganti dia, awaklah yang ganti saya,” jelas Sopaih.

MGF20062020_TEMUBUAL-IBUBAPA-ISTERI-CALON-BN-PRK-CHINI11-1024x680

Temubual eksklusif bersama ibu calon Barisan Nasional, Sopiah Mat sempena Pilihan Raya Kecil N. 23 Chini di Felda Chini 3, Pahang. foto AFFAN FAUZI, 25 JUN 2020Mohd Sharim diumumkan sebagai calon BN pada 18 Jun lalu.

Beliau berdepan dua lagi pencabar dari bebas iaitu Mohd Shukri Mohd Ramli dan Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 4 Julai depan sebagai tarikh pembuangan undi dan 30 Julai sebagai tarikh undi awal.

Terdapat 20,990 pengundi berdaftar, termasuk 18 pemilih awal dalam DUN Chini.

DUN Chini merupakan kubu BN sejak PRU ke-11 pada 2004 menerusi penyandangnya, Datuk Seri Abu Bakar Harun yang meninggal dunia akibat serangan jantung pada 7 Mei lalu. – MalaysiaGazette

Jumaat, 26 Jun 2020

Nak tanding takut hilang deposit, taja dan sokong calon bebas itulah satu-satu pilihan


PETALING JAYA:
Dr Mahathir Mohamad menggesa pengundi menyokong calon bebas yang juga bekas ahli PPBM, Tengku Zainul Hisham Tengku Hussin pada pilihan raya kecil DUN Chini.

Bekas perdana menteri itu berharap pengundi tidak akan dipengaruhi “sogokan” daripada mana-mana pihak kerana ia akan “menghilangkan kedudukan kita”.

“PPBM tidak meletakkan calon tapi saya seorang sokong calon ini,” katanya di Facebook hari ini.

Mahathir, yang keahliannya “terhenti” kerana mengingkari parti dengan menyertai blok pembangkang di Dewan Rakyat, berpendapat Tengku Zainul amat sesuai walaupun sebagai calon bebas.

Keahlian PPBM Tengku Zainul juga “terhenti” serta-merta semalam kerana bertanding tanpa kebenaran parti.

Tengku Zainul berdepan pertandingan 3 penjuru menghadapi calon Barisan Nasional, Mohd Shahrim Md Zin dan seorang lagi calon bebas, Mohd Shukri Mohd Ramli.

DUN Chini mempunyai 20,990 pengundi.

PRK ini menyusuli kematian penyandangnya, Abu Bakar Harun dari BN akibat serangan jantung pada 6 Mei.

Abu Bakar mempertahankan kerusi Chini pada pilihan raya umum ke-14 dengan majoriti 4,622 undi, menewaskan calon PAS, Mohd Fadhil Noor Abdul Karim yang memperoleh 5,405 undi, dan calon PKR, Mohamad Razali Ithnain (1,065).

DUN Chini akan mengundi pada 4 Julai ini.

Khamis, 25 Jun 2020

Chini Memilih: PRK DUN Chini landasan kekuatan BN hadapi PRU - Najib

Chini Memilih: PRK DUN Chini landasan kekuatan BN hadapi PRU - Najib
Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN) yang juga Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak yakin keputusan PRK DUN Chini landasan kekuatan BN dan Muafakat Nasional hadapi PRU ke-15. - Foto Astro AWANI

PEKAN : Pilihan Raya Kecil (PRK) N23 Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini menjadi landasan kepada Barisan Nasional (BN) untuk berhadapan dengan Pilihan Raya Umum (PRU) ke-15 nanti.

Menurut Pengerusi Lembaga Penasihat Barisan Nasional (BN) yang juga Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Mohd Najib Tun Razak, beliau yakin keputusan PRK DUN Chini pada 4 Julai depan akan melambangkan kekuatan BN dan Muafakat Nasional.
"Kita tidak pasti bila Pilihan Raya Umum (PRU15) akan diadakan, memang khabar angin agak kencang boleh diadakan pada bila-bila masa atau tahun ini.

"Justeru PRK DUN Chini ini boleh mengekalkan momentum telah bermula dari tanah tinggi Cameron Highlands sampailah ke kawasan kuala atau lembah di Chini ini.
"Jadi kita haraplah Pahang boleh dijadikan landasan atau negeri yang melambangkan kekuatan BN dan juga Muafakat Nasional dan menceminkan PRK pertama dalam tempoh kerajaan Perikatan Nasional," katanya.

Najib berkata demikian ketika ditemui dalam program calon Barisan Nasional (BN) Mohd Sharim Md Zain bersama masyarakat orang asli di Kampung Tasik Mentiga di Chini pada Khamis.

PRK DUN Chini, yang memiliki keluasan 590.23 kilometer persegi, menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara calon Barisan Nasional (BN) Mohd Sharim Md Zain dan dua calon bebas iaitu Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin dan Mohd Shukri Mohd Ramli. Pengundian ditetapkan pada 4 Julai ini.

Terdapat 20,990 pemilih berdaftar terdiri daripada 20,972 pengundi biasa dan 18 pengundi awal.

Najib turun bantu kempen calon BN

Muhammad Azizul Osman
MG_PRKCHINI_NAJIBRAZAK_001-681x454
Datuk Seri Najib Razak turun padang berkempen untuk calon Barusan Nasional,
Mohd Sharim Md Zain di Chini, Pahang

CHINI – Kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini dimeriahkan lagi dengan kehadiran bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.

Memasuki hari keenam hari ini, program turun padang Najib dimulakan dengan mendekati masyarakat Orang Asli dalam program Ziarah Kasih Batin Manda di Kampung Orang Asli Bendaling, Chini.

Turut hadir adalah calon Barisan Nasional (BN), Mohd Sharim Md Zain dan Ketua Pemuda UMNO Pekan, Datuk Mohd Nizar Najib.

Antara lain, bekas Pengerusi BN itu turut mendekati masyarakat Orang Asli Kanpung Tasik Mentiga, Chini dan penyerahan borang keahlian baru Ibu Tunggal DUN Chini di Dewan Semai Bakti Felda Chini 5.

Najib dijadualkan berada di Chini selama tiga hari sehingga Ahad depan.

“Saya sudah hubungi Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Dr Shamsul Anuar Nasarah untuk memastikan Tenaga Nasional Berhad untuk bekalkan elektrik sebab tiang elektrik sudah dipasang.

“Malah menteri turut mengarahkan TNB buat kerja serta merta supaya elektrik sampai ke rumah Orang Asli,” katanya ketika mengadakan ziarah terhadap masyarakat Orang Asli di Kampung Bendaling, Chini.

Najib berkata, projek bekalan elektrik di sini terhenti kerana penularan Covid-19 yang berkilau sejak penghujung tahun lalu.

Dalam pada itu, Najib melahirkan keyakinan bahawa Mohd Sharim akan menjadi wakil rakyat yang bagus untuk pengundi Chini.

“Calon boleh sambung legasi Allahyarham Datuk Seri Abu Bakar dengan baik dan dia mampu tunjukkan kerja yang boleh memenuhi kehendak Chini.

“Dia paling sesuai untuk Chini. Saya yakin dia akan jadi wakil rakyat yang akan beri kerja senang hati,” katanya lagi. – MalaysiaGazette

Rabu, 24 Jun 2020

Mohd Sharim tetap turun padang walau BN boleh menang

Muhammad Azizul Osman
MGF240620_Walkabout-Calon-BN_11-1-681x454
Calon Barisan Nasional (BN), Mohd Sharim Md Zain (tengah) beramah mesra
bersama peniaga kedai runcit semasa sesi walkabout sempena Pilihan Raya
Kecil N. 23 Chini di Bandar Chini, Pahang. foto SYAFIQ AMBAK

CHINI – Mohd Sharim Md Zain yakin parti itu mampu meraih 95 peratus undi dalam Pilihan Raya Kecil yang diadakan pada Julai depan, seperti mana jangkaan Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Razak.

Calon Barisan Nasional (BN) itu berkata, biarpun kejayaan itu boleh dicapai namun beliau tidak mahu terus selesa, sebaliknya akan meneruskan kempen untuk terus mendapat tempat di hati pengundi Chini.

”Sebagai calon saya akan terus berjumpa pengundi untuk memastikan kepercayaan kepada saya diberikan di DUN Chini.

“Saya tidak boleh terlalu yakin memandangkan kita masih dalam tempoh berkempen. Saya perlu memastikan sentuhan kita selaku calon sampai ke peringkat akar umbi dan pengundi di DUN Chini serta pengundi luar,” katanya ketika ‘walkabout’ di sekitar Bandar Chini, pagi ini.

Beliau ditemani Setiausaha Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan.

MGF240620_Walkabout-Calon-BN_06-1024x683
Calon Barisan Nasional (BN), Mohd Sharim Md Zain bercakap
kepada media semasa sesi walkabout sempena Pilihan
Raya Kecil N. 23 Chini di BandarChini, Pahang. foto
SYAFIQ AMBAK

Najib pada 8 Jun lalu berkata kerjasama UMNO dan Pas menerusi Muafakat Nasional diyakini mampu meraih lebih 95 peratus undi pada PRK kali ini.

Ketua UMNO Bahagian Pekan itu berkata, jangkaan tersebut dibuat selepas pengundi kedua-dua parti memberi sokongan penuh kepada calon BN pada PRK DUN Chini.

Bagaimanapun, beliau mahu menang dengan majoriti tambahan susulan BN adalah sebahagian besar daripada parti pemerintah.

Dalam pada itu, Ahmad Maslan berkata, Mohd Sharim mempunyai tiga kriteria sebagai seorang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) yang bagus untuk berkhidmat kepada pengundi-pengundi Chini.

Antaranya, Mohd Sharim adalah anak muda yang mampu untuk berkhidmat dengan cemerlang kepada masyarakat Felda dan Orang Asli.

“Kedua, beliau mewakili generasi Felda. Kita berada tiga penggal dua tahun di bawah Allahyarham yang juga peneroka Felda.

“Jadi tiba giliran generasi kedua Felda untuk mewakili kawasan ini. Lebih-lebih lagi 80 peratus pengundi kawasan ini terdiri daripada warga peneroka.

“Selain itu beliau juga boleh berperanan di Kampung Tradisional dan masyarakat Orang Asli.

“Ketiga adalah  dibelakangnya ada dua kerajaan yang boleh membantu membangunkan lagi masyarakat Chini iaitu kerajaan negeri dan kerajaan Pusat.

“Berbanding dua calon bebas yang tidak didukung oleh sebarang kerajaan dibelakangnya, jadi hasrat rakyat tidak akan kesampaian jika kita sokong calon bebas,” katanya.

Hari ini adalah hari kelima kempen PRK DUN Chini yang akan berakhir pada 4 Julai depan.

PRK DUN Chini menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara Mohd Sharim dengan dua lagi calon Bebas iaitu Mohd Shukri Mohd Ramli dan Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin.

Kerusi DUN Chini kosong setelah penyandangnya, Datuk Seri Abu Bakar Harun meninggal dunia pada 7 Mei lalu di Hospital Kuala Lumpur (HKL) akibat serangan jantung. – MalaysiaGazette

Kalau DAP bertanding Dr Mahathir akan sokong

Muhammad Azizul Osman
MGF240620_Walkabout-Calon-BN_01-1-681x454
Calon Barisan Nasional (BN), Mohd Sharim Md Zain (kanan) bersama Setiausaha
Agung UMNO, Datuk Seri Ahmad Maslan (kiri) membuat teh tarik semasa sesi
walkabout sempena Pilihan Raya Kecil N. 23 Chini di Bandar Chini, Pahang.
foto SYAFIQ AMBAK,

CHINI – Tun Dr Mahathir Mohamad pastinya akan memberi sokongan kepada DAP sekiranya parti itu meletakkan calonnya dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini.

Ini kerana, Dr Mahathir tidak pernah mempunyai pendirian.

“Tun Mahathir kalau DAP bertanding pun dia akan sokong. Jenis orang yang tidak ada pendirian. Malang sungguh kepada beliau,” kata Setiausaha Agung UMNO itu yang ditemui ketika ‘walkabout’ di sekitar bandar Chini, pagi ini.

Turut hadir adalah calon Barisan Nasional (BN), Mohd Sharim Md Zain.

Ini kali pertama bekas Pengerusi Pakatan Harapan (PH) itu menyokong calon bebas.

Mengulas mengenai sokongan Dr Mahathir kepada Datuk Tengku Zainul Hisham Tengku Hussin, Ahmad berkata, adalah tidak wajar untuk Dr Mahathir menyatakan sokongan kepada calon bebas, sedangkan calon-calon daripada parti-parti dalam PH yang pernah diterajuinya tidak bertanding.

Kelmarin, Perdana Menteri ketujuh itu mengumumkan sokongan peribadinya kepada Zainul Hisham yang juga anak kepada bekas ADUN Bandar Pekan, Allahyarham Datuk Shamsiah Abdul Hamid.

PRK DUN Chini menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara Mohd Sharim dan seorang lagi calon bebas, Mohd Shukri Mohd Ramli.

Bagaimanapun, Ahmad berkata, sokongan terbuka Dr Mahathir itu hanya memberi kesan minimum kepada kempen BN.

“Ada sikit-sikit (terkesan), itu biasalah kerana ada orang-orang yang fanatik dengan dia.

”Tetapi saya kira dia tidak memahami perjuangan kawasan ini, entah dia pernah sampai sini atau tidak, jadi dia tidak faham masalah masyarakat di sini” katanya lagi. – MalaysiaGazette

Selasa, 23 Jun 2020

PRK Chini: Cip Sharim Pamer Kempen Sistematik, Temui Pengundi Pelbagai Peringkat

UMNO ONLINE

PEKAN – Baru memasuki hari keempat kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini, calon Barisan Nasional (BN) Mohd Sharim Md Zain dilihat mempamerkan gerak kerja kempen yang sistematik dengan telah bertemu hampir 40 peratus pengundi.

Ketika ditemui sewaktu mengiringi Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail semasa kempen di sekitar Salong dekat sini, Mohd Sharim gembira dengan sokongan dan maklum balas positif diterima sehingga hari ini.

Dikenali dengan gelaran ‘Cip Sharim’ dalam kalangan generasi muda Gugusan Felda Chini, beliau yang juga generasi kedua Felda Chini 3 berkata, setakat ini beliau berpuas hati dengan penerimaan pengundi di Felda serta pengundi di kawasan kampung tradisi dan perkampungan Orang Asli.

Sementara itu, Wan Rosdy selaku Pengarah PRK DUN Chini berkata meskipun kempen PRK kali ini sangat sunyi dan tenang disebabkan ancaman pandemik COVID-19, namun calon BN itu akan terus bergerak dan mengikut prosedur operasi standard (SOP) khas sepertimana dietapkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR).

“Kita gerak (dari rumah) ke rumah dengan kadar yang sedikit dan memanglah keadaan nampak lebih tenang dan aman. Bagi calon BN seharusnya kena jumpa seramai mungkin (pengundi).

“Kempen berjalan dengan sangat minimum dan tidak seperti dulu (kempen pilihan raya sebelum ini). Suasana pilihan raya itu tetap ada walaupun pergerakan agak terhad kerana patuhi SOP dan tidak boleh berkumpul seperti mana dulu …tetapi dalam keadaan yang agak berbeza,” katanya.

PRK DUN Chini, dengan pengundian 4 Julai ini, menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Mohd Sharim, 41, dan dua calon Bebas Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin, 64, dan Mohd Shukri Mohd Ramli, 49.


Di samping itu, Wan Rosdy berkata pihaknya akan membantu calon BN memperkasakan kempen menerusi media sosial.

“Disebabkan pergerakan kita terhad, semua yang bertanding termasuk BN akan gunakan secara meluas media sosial ini.

“Di samping itu kita akan teruskan kaedah berkempen dan tidak mengambil mudah, tidak kiralah siapa yang jadi lawan kita. Usaha kita akan diteruskan bagi memastikan kita dapat majoriti yang lebih daripada biasa,” katanya.

Ditanya mengenai ‘kehambaran’ perang bendera dan poster meskipun sudah beberapa hari kempen, Wan Rosdy menjangkakan proses pemasangan bendera, poster dan kain rentang calon BN akan siap dalam masa terdekat.

Terdapat 20,990 pengundi berdaftar bagi DUN Chini, termasuk 18 pemilih awal.

DUN Chini merupakan kubu BN sejak PRU-11 pada 2004 menerusi penyandangnya, Datuk Seri Abu Bakar Harun yang meninggal dunia akibat serangan jantung pada 7 Mei lepas.

Pada PRU-14 lepas, Abu Bakar mempertahankan kerusi DUN Chini dengan majoriti 4,622 undi selepas memperoleh 10,027 undi, menewaskan calon PAS Mohd Fadhil Noor Abdul Karim (5,405) dan Mohamad Razali Ithnain daripada PKR (1,065). – BERNAMA

PAS sokong penuh calon BN di Chini

MALAYSIAKINI

Malaysiakini

PRK CHINI |  Ahli PAS dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini akan memberi sokongan penuh terhadap calon Barisan Nasional (BN) Mohd Sharim Md Zain bagi memastikan kemenangan beliau dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) DUN itu.

Pengerusi Majlis Tindakan PAS DUN Chini Sarjuni Konting berkata ahli PAS di kawasan berkenaan turut akan membantu kempen Mohd Sharim, 41, bagi memastikan kemenangan menjadi milik calon BN yang juga generasi kedua Felda itu.

"Kami akan sokong BN dalam PRK ini. Saya memang mengenali Mohd Sharim secara peribadi sejak dahulu lagi dan percaya beliau mempunyai kemampuan untuk memimpin.

"Saya menasihatkan beliau supaya terus mendaulatkan Islam dan mengambil berat aspek ekonomi terutama kepada anak-anak peneroka yang tiada pekerjaan," katanya kepada pemberita di Pekan malam ini.

Sementara itu, Mohd Sharim berkata beliau menerima pandangan Sarjuni mengenai keutamaan yang perlu diberikannya dalam kempen PRK DUN Chini, terutama dalam aspek berkaitan mendaulatkan agama Islam dan meningkatkan ekonomi generasi muda.

PRK DUN Chini menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara Mohd Sharim menentang dua calon bebas iaitu Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin, 64, dan Mohd Shukri Mohd Ramli, 49, bagi merebut kekosongan kerusi ditinggalkan Datuk Seri Abu Bakar Harun, 60, yang meninggal dunia akibat serangan jantung selepas terjatuh dan mengalami sesak nafas pada 7 Mei lepas.

SPR menetapkan hari mengundi awal bagi PRK DUN Chini pada 30 Jun, manakala hari mengundi pada 4 Julai ini. PRK Chini adalah pilihan raya kecil yang ke-11 selepas PRU-14.

Pada PRU-14 lalu, Abu Bakar mempertahankan kerusi DUN Chini dengan majoriti 4,622 undi selepas memperoleh 10,027 undi, menewaskan calon PAS Mohd Fadhil (5,405) dan Mohamad Razali Ithnain daripada PKR (1,065). DUN Chini mempunyai 20,990 pengundi.- Bernama

Isnin, 22 Jun 2020

PH penakut tak tanding PRK Chini, kata penganalisis politik

Kamarul Zaman Yusoff berkata, jika calon bebas mampu mendapatkan kembali deposit
mereka, ia boleh dijadikan petunjuk untuk PH memperkecilkan pengaruh BN kerana
gabungan pembangkang itu hilang wang pertaruhan pada PRU14.

PETALING JAYA: Seorang penganalisis politik menyifatkan Pakatan Harapan (PH) penakut kerana tidak meletakkan calon pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Chini, sedangkan ia patut bertanding untuk mengaktifkan jentera parti selepas desas-desus berhubung pilihan raya umum mengejutkan.

Kamarul Zaman Yusoff dari Universiti Utara Malaysia berkata BN dijangka memenangi PRK Chini, cuma yang menjadi persoalannya sama ada 2 calon bebas itu akan hilang deposit mereka.

“Satu kerugian besar bila PH tidak meletakkan calon kerana ia menidakkan peluang untuk mengukur kekuatan PH dan kesepaduan Perikatan Nasional (PN),” katanya kepada FMT.

“Jika ada calon bebas yang mampu kekalkan wang pertaruhan, maka ini boleh digunakan PH sebagai petunjuk untuk memperkecilkan pengaruh BN kerana dalam PRU14 calon PH hilang wang pertaruhan.”

PRK Chini menyaksikan pertandingan 3 penjuru antara calon BN, Mohd Sharim Md Zain bersama 2 calon bebas, Tengku Zainul Hisham Tengku Hussin dan Mohd Shukri Mohd Ramli.

Chini antara 4 kerusi Dewan Undangan Negeri di bawah Parlimen Pekan yang diwakili bekas perdana menteri, Najib Razak.

PRK Chini diadakan susulan kematian penyandangnya, Abu Bakar Harun akibat serangan jantung pada 7 Mei lalu.

Abu Bakar yang mewakili BN pada PRU 2018 meraih majoriti 4,622 undi, mengetepikan calon PAS yang mendapat 5,405 undi dan calon PKR mewakili PH yang meraih 1,065 undi.

Sementara itu, Azmi Hassan dari Universiti Teknologi Malaysia berkata PRK Chini peluang terbaik BN dan Umno mempamerkan kekuatannya dalam PN.

“Ini adalah kerana kemenangan besar di Chini boleh dijadikan modal rundingan kerusi PRU15, jika BN berada dalam PN menjelang PRU akan datang.

“Ada juga yang membuat telahan keputusan Chini akan pamer kekuatan PN, tetapi perlu berhati-hati kerana salah seorang calon bebas mempunyai kaitan yang agak kuat dengan PPBM.”

Disebabkan pencabar BN ialah 2 calon bebas, katanya, parti itu perlu meraih majoriti besar, melebihi majoriti pada PRU14.

“Mengapa jumlah majoriti adalah penting? Ia kerana Umno khususnya dan Muafakat Nasional (MN) amnya mempunyai pengaruh kukuh di kalangan pengundi Melayu luar bandar.

“Senario politik ketika PRK Tanjung Piai adalah berbeza ketika ini kerana BN dan MN sudah berada dalam PN, iaitu sebahagian daripada kerajaan.”

Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya pula berkata, PRK Chini memperlihatkan kesan besar kerjasama PPBM dan MN atas nama PN.

“Keputusan PH tak bertanding akan menyebabkan undi tersebut beralih kepada 2 calon bebas.

“Namun, isu calon perdana menteri PH dijangka menyebabkan ramai penyokong PH protes tak mahu keluar mengundi atau tukar undi kepada BN.”

Ahad, 21 Jun 2020

Hari Pertama Kempen, Mohd Sharim Terima Reaksi Positif Pengundi, Patuhi SOP

UMNO ONLINE

PEKAN – Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini merupakan PRK yang pertama diadakan ketika negara berada dalam penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang kini memasuki fasa pemulihan (PKPP) akibat dari penularan wabak COVID-19.

Berikutan itu, kerajaan melalui Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan juga Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) telah menggariskan beberapa garis panduan dan Prosedur Operasi Standard (SOP) yang perlu dipatuhi oleh parti yang bertanding.

Antaranya seperti aktiviti berceramah yang mempunyai had kehadiran pengundi dan di tempat tertutup, tinjauan mesra atau ‘walkabout’ dan lawatan rumah ke rumah.

Memasuki hari pertama berkempen, calon Barisan Nasional (BN) Mohd Sharim Md Zain memulakan aktiviti di sekitar kawasan perniagaan Bandar DARA seawal pagi dengan menikmati sarapan bersama rakyat.

Begitu juga dengan menyantuni peniaga dan pengunjung di Pasar Tani Kekal Chini dengan mengikut SOP yang telah ditetapkan seperti penjarakan sosial, mengambil suhu, mendaftar diri dan sanitasi.

Ketika ditemui media sebaik selepas membuat pelepasan (flag off) Kelab Motorcross Chini yang melibatkan hampir seratus peserta di Bandar DARA, di sini siang tadi, selain dilihat teruja dengan sambutan yang amat baik rakyat kepadanya, Mohd Sharim juga mengambil berat akan pematuhan SOP yang digariskan sepanjang berkempen.


“Ini hari pertama kita berkempen, pastinya kita berusaha untuk memastikan SOP ini…tetapi masyarakat lebih rapat mengenali saya dan kita juga menghormati dan kita cuba melakukan yang terbaik untuk mematuhi segala SOP yang telah ditetapkan oleh SPR dan MKN,” katanya.

Hari Pertama berkempen Mohd Sharim juga dipenuhi dengan aktiviti mengunjungi beberapa pemimpin masyarakat seperti di Felda Chini Timur 1, Felda Chini Timur 3, Kampung Gumum dan Tasik Mentiga.

Selain itu, Mohd Sharim juga tidak melepaskan peluang bertemu dan beramah mesra dengan masyarakat orang asal di Kampung Gumum, Ulu Gumum, Tanah Merah dan Arong serta generasi kedua dan ketiga Felda.

Jelas kelihatan Mohd Sharim diterima positif oleh rakyat dan kehadirannya amat ditunggu-tunggu oleh masyarakat.

Begitu juga, terpancar keyakinan rakyat akan kemampuan beliau memikul tanggungjawab mewakili suara mereka.

PRK DUN Chini menyaksikan pertembungan tiga penjuru antara BN diwakili Mohd Sharim dengan dua orang calon Bebas.

Mohd Sharim, 41, generasi kedua Felda merupakan Naib Presiden Majlis Belia Pahang dan Pengerusi Majlis Belia Felda Wilayah Kuantan selain Ahli Jawatankuasa UMNO Bahagian Pekan dan Ketua Pemuda UMNO Cawangan Felda Chini 3 Berkat.

PRK DUN Chini diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Seri Abu Bakar Harun pada 6 Mei lalu di Hospital Kuala Lumpur (HKL) kerana serangan jantung.

SPR menetapkan hari pengundian biasa pada 4 Julai manakala pengundian awal pada 30 Jun ini yang melibatkan seramai 20,990 orang pengundi. – UMNO ONLINE

PRK Chini: Gerakan sokong calon BN

Shawaliah Hadir
MGF20062020_PENAMAAN-CALON-PRK-N
Gelagat penyokong calon Barisan Nasional, Mohd Sharim Md Zain ketika hari penamaan calon Pilihan Raya Kecil N. 23 Chini di Institut Kemahiran Belia Negara Pekan, Pahang. foto AFFAN FAUZI

KUALA LUMPUR – Parti Gerakan Rakyat Malaysia (Gerakan) menyatakan sokongan penuh kepada Barisan Nasional (BN) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini,  4 Julai nanti.

Bahkan menurut Presiden parti itu Datuk Dr Dominic Lau, beliau telah mengarahkan pemimpin dan wakil Gerakan di peringkat Pahang untuk memberikan sokongan kepada calon BN  iaitu Mohd Sharim Md Zain ketika proses penamaan calon berlangsung pagi tadi.

“Chini itu memang akan bertanding calon Barisan Nasional oleh itu kita berikan sokongan kepada BN di PRK Chini.

“Memang hari ini kita telah mengarahkan wakil-wakil Gerakan daripada Pahang beri satu sokongan kepada BN semasa penamaan calon,” katanya ketika sidang media.

PRK DUN Chini menyaksikan pertandingan 3 penjuru apabila 2 calon Bebas bertanding melawan calon daripada BN.

Calon Bebas itu adalah Tengku Datuk Hisham dan Mohd Shukri Mohd Ramli manakala BN mempertaruhkan  Mohd Sharim.

PRK DUN Chini diadakan susulan kematian Datuk Seri Abu Bakar Harun, 60, di Hospital Kuala Lumpur akibat serangan jantung selepas terjatuh dan mengalami sesak nafas, 7 Mei lalu.

Pada Pilihan Raya Umum (PRU) 2018, Allahyarham selaku wakil BN mempertahankan kerusi disandangnya dalam saingan tiga penjuru dengan majoriti 7,675 undi.-MalaysiaGazette

Sabtu, 20 Jun 2020

SPRM buka 2 bilik gerakan terima aduan orang ramai di PRK Chini

SURUHANJAYA Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) melancarkan bilik gerakan sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) N23 Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini hari ini.

Bilik gerakan itu bagi membolehkan orang ramai menyalurkan maklumat serta aduan berkaitan perbuatan rasuah dan salah guna kuasa sepanjang tempoh berkempen pada PRK tersebut.

Dalam satu kenyataan, SPRM berkata, bilik gerakan itu ditempatkan di dua lokasi. Lokasi pertama di Kompleks SPRM Pahang Peti yang beroperasi pada waktu pejabat.

Manakala lokasi kedua di Pejabat Jawatankuasa Kemajuan Keselamatan Kampung (JKKK) Felda Chini Satu Pekan yang beroperasi 24 jam.

Orang ramai juga boleh menyalurkan sebarang aduan rasuah dan salah guna kuasa melalui talian Hotline PRK Chini 013-5485988/09-5716000 atau e-mel kepada prkchini@sprm.gov.my

“Dalam pada itu, SPRM juga mengingatkan kepada calon dan parti politik yang bertanding agar tidak melakukan aktiviti-aktiviti yang boleh melanggar undang-undang dan peraturan pilihan raya selaras dengan Akta SPRM 2009 dan Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 (Pindaan 2012),” kata kenyataan tersebut.

Sehingga pukul 10.30 pagi tadi tiga calon PRK Chini telah menyerahkan borang pencalonan mereka.-SM

BN berhadapan 2 calon Bebas di PRK Chini

PILIHAN Raya Kecil DUN Chini menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Calon Barisan Nasional, Mohd Sharim Md Zain dan 2 calon bebas.

Dua calon bebas adalah Mohd Shukri Mohd Ramli dan  Tengku Datuk Zainul Hisham Tengku Hussin.

PRK DUN Chini diadakan berikutan kematian penyandangnya, Datuk Seri Abu Bakar Harun, 60, di Hospital Kuala Lumpur akibat serangan jantung selepas terjatuh dan mengalami sesak nafas.

Pada PRU14, Abu Bakar mempertahankan kerusi DUN Chini dengan majoriti 4,622 undi selepas memperoleh 10,027 undi menewaskan calon PAS Mohd Fadhil Noor Abdul Karim (5,405) dan Mohamad Razali Ithnain dari PKR (1,065).

SPR menetapkan pengundian awal bagi PRK DUN Chini pada 30 Jun manakala hari mengundi pada 4 Julai. DUN Chini, yang merupakan antara empat DUN di bawah Parlimen Pekan.

Daftar pemilih bagi PRK DUN Chini mengandungi 20,990 pengundi terdiri daripada 20,972 pengundi biasa dan 18 pengundi awal polis.-SM