Ahad, 5 April 2020

"Tolong beri kerjasama, jangan maki hamun polis" - Ismail Sabri seru pada rakyat Malaysia

Hasimi Muhamad, Astro Awani
"Tolong beri kerjasama, jangan maki hamun polis" - Ismail Sabri seru pada rakyat Malaysia
Setakat semalam, Ismail Sabri memaklumkan PDRM dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah mengadakan 74 sekatan jalan raya dan pemeriksaan ke atas 331,839 kenderaan di seluruh negara.
 
 
PUTRAJAYA: Rakyat Malaysia diseru supaya memberikan kerjasama dan mematuhi arahan pihak berkuasa termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM) khususnya dalam tempoh pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP).

Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob memberi peringatan agar jangan sesekali orang awam cuba mengganggu tugas atau mengeluarkan kata-kata kesat terhadap petugas keselamatan.

"Tolong beri kerjasama kepada pihak polis. Jangan cuba untuk menghalang tugas mereka  atau memaki hamun.

“Seperti yang saya katakana bahawa ‘mood’ dari segi penguatkuasaan pihak polis telah berubah daripada menasihat kepada tegas dan kini keras.
 
“Saya suka nyatakan bahawa apa yang dilakukan oleh pihak polis adalah tidak lain dan tidak bukan adalah untuk menjaga keselamatan dan nyawa rakyat di negara ini. Jadi, pihak polis melakukan ini untuk membantu kita semua. Jadi, berilah kerjasama kepada mereka,” katanya dalam sidang media harian di sini, pada Ahad.

Mengulas lanjut, Ismail Sabri berkata, seramai 309 individu telah direman, sementara 59 individu lagi diikat dijamin atas kesalahan tersebut setakat semalam.
 
Rekod tangkapan katanya menunjukkan bahawa kebanyakan individu yang ditahan bukan sahaja melibatkan kesalahan melanggar arahan PKP, sebaliknya juga membabitkan kesalahan menganggu tugas pihak berkuasa.

“Mereka bukan lagi dituduh di bawah Akta 342 Kanun Keseksaan tetapi juga Kanun Keseksaan yang membawa hukuman yang berat. Sebab itu ada yang dihukum lapan bulan dan sebagainya,” katanya.

Setakat semalam, Ismail Sabri memaklumkan PDRM dan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) telah mengadakan 745 sekatan jalan raya dan pemeriksaan ke atas 331,839 kenderaan di seluruh negara.

Selain itu, sebanyak 25,554 pemeriksaan mengejut dijalankan di seluruh negara termasuk melibatkan 4,399 premis telah telah diperiksa oleh pihak berkusa. 
 
 

Tiada ulasan: