Rabu, 8 April 2020

Tempoh PKP ambil kira juga perkembangan di luar negara

ainulillia

 

Bimbang orang ramai tak boleh kawal pergerakan jika PKP dilonggar

BANGI – Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dikuatkuasakan oleh kerajaan tidak wajar dilonggarkan buat masa ini, kata Pakar Perubatan Kesihatan Awam (Epidemiologi dan Biostatik) Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Malina Osman.

Ini kerana, katanya, sekiranya PKP dilonggarkan secara mendadak, dibimbangi sebahagian besar masyarakat tidak dapat mengawal perkara ini sehinggakan larangan untuk mengadakan perhimpunan beramai-ramai tidak dipatuhi. 

Justeru, katanya, PKP ini sewajarnya diteruskan sehinggalah bilangan kes yang ideal – tidak ada kes selama 14 hari berturut-turut.

“PKP wajar dilanjutkan. Memang ada yang harap PKP dilonggarkan. Sebab kita dah biasa dengan cara hidup bermasyarakat. Masyarakat kita secara umumnya sangat mesra antara satu sama lain, pasti kita simpan perasan rindu, mahu berjumpa jadi kita bimbang jika PKP dilonggar keadaan itu tidak dapat dikawal.

“Bagaimanapun ada tempoh inkubasi yang perlu diambil kira dan wujud juga di kalangan rakyat yang dirinya positif tapi belum dapat dikesan atau tidak mempunyai simptom, menyebabkan kita terpaksa menunggu lebih lama lagi. 

“Mahu tak mahu kita kena menunggu untuk melihat corak atau pola peningkatan. Masyarakat kita secara umumnya sangat mesra antara satu sama lain, pasti kita simpan perasan rindu,” katanya daam Program Pertiwi Eksklusif, hari ini.

Dalam pada itu, Dr Malina berkata, buat masa sekarang amat sukar untuk PKP dilonggarkan kerana kes yang saban hari dicatatkan melebihi dua angka. 

“Oleh itu, adalah penting untuk kita saling memberikan motivasi antara satu sama lain. Peranan itu adalah peranan kita, dari segi kesihatan awam kita adalah anggota barisan hadapan untuk memastikan apa yang diusahakan kerajaan berjaya. 

“Penglibatan rakyat adalah penting untuk memastikan kejayaan ini. Situasi ini bukan macam pakar bedah di mana keberhasilan sesebuah pembedahan itu terletak pada pakar, tapi kali ini ia bergantung pada semua barisan masyarakat,” katanya.

Pada masa sama, beliau tidak menolak kemungkinan berlaku peningkatan kes secara mendadak di negara ini seperti yang telah dinyatakan Ketua Pengarah Kesihatan, Datuk Dr Noor Hisham Abdullah sebelum ini.

Situasi itu termasuk mereka yang baru pulang dari luar negara dan dibimbangi juga berlakunya kemasukan kes dari sempadan negara melalui jalan-jalan yang tidak sah, katanya.

“Kita sedia maklum apa yang berlaku di negara jiran – Indonesia. Semalam sahaja ada 25 orang doktor meninggal. Ini merisaukan, ia memberikan petunjuk bahawa sistem kesihatan di sana kritikal untuk membendung wabak sehingga menyebabkan petugas mereka terjejas. 

“Masyarakat mereka di sana juga kurang yang telah menjalani saringan, hanya kes tertentu dan tidak menyeluruh. Ini dapat dilihat dengan kes yang dikesan rendah berbanding kadar kematian yang tinggi.

“Justeru, kita bimbang jika ada orang indonesia masuk ke Malaysia dengan jalan tikus. Jadi tempoh PKP ini perlu dilihat secara menyeluruh, bukan sekadar konteks di negara kita sahaja,” katanya.


Tiada ulasan: