Rabu, 8 April 2020

Pemandu e-hailing mengaku tidak bersalah hina Agong

Jika didapati bersalah pemandu e-hailing hina Agong akan 
dikenakan denda maksimum RM50,000, penjara 1 tahun atau 
kedua-duanya.
 
KUALA LUMPUR: Seorang lelaki berusia 26 tahun mengaku tidak bersalah di Makkamah Sesyen terhadap 8 pertuduhan membuat hantaran jelik kepada Yang di-Pertuan Agong Sultan Abdullah Sultan Ahmad Shah di Twitter bulan lalu.

Sufazrin Amin Ismail, yang bekerja sebagai pemandu e-hailing dituduh menghantar 8 “tweet” antara 23 dan 25 Mac dengan niat menjengkelkan orang lain.

Sekiranya didapati bersalah di bawah Seksyen 233(1) Akta Komunikasi dan Multimedia, dia akan dikenakan denda maksimum RM50,000, penjara 1 tahun atau kedua-duanya.

Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Shahrizzat Amadan meminta mahkamah mengenakan ikat jamin sebanyak RM10,000 bagi setiap pertuduhan itu, tetapi Sufazrin memohon jumlah yang lebih rendah mengatakan dia perlu menyara keluarga.
Hakim Mahkamah Sesyen Emelia Kaswati Mohamad Khalid membenarkan Sufazrin diikat jamin sebanyak RM16,000 bagi semua 8 pertuduhan dan menetapkan 12 Mei untuk sebutan kes supaya dia boleh melantik peguam.

Mahkamah juga menghalangnya daripada menghantar sebarang “tweet” serupa sementara menunggu pelupusan kesnya.

Semalam, Bukit Aman berkata pegawainya menahan seorang lelaki pada 3 April kerana didakwa menghantar komen menghina terhadap Sultan Abdullah di Twitter. Lelaki itu ditahan reman dari 4 hingga 7 April.

Tiada ulasan: