Rabu, 8 April 2020

Syarikat penerbangan digesa pulang semula wang batal penerbangan akibat Covid-19

Matta bimbang penumpang dan ejen pelancongan tidak mendapat 
bayaran balik selepas penerbangan mereka dibatalkan berikutan 
pandemik Covid-19.
 
PETALING JAYA: Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (Matta) hari ini menggesa syarikat penerbangan memberi keutamaan kepada bayaran balik wang tunai bagi pembatalan penerbangan akibat pandemik Covid-19.

Naib Presidennya, Shazli Affuat Ghazali, berkata ramai penumpang dan agen pelancongan bimbang tidak mendapat bayaran balik.

“Syarikat penerbangan tidak boleh mengeluarkan nota kredit yang mungkin mempunyai sedikit atau tidak ada nilai sekiranya mereka tidak mampu membayar.

“Ia adalah prinsip untuk mengembalikan bayaran yang dikutip daripada pelanggan untuk perkhidmatan yang tidak diberikan kerana keadaan luar biasa semasa,” katanya dalam satu kenyataan.

Shazli berkata syarikat penerbangan harus memberikan bayaran balik penuh yang dibuat penumpang dan ejen pelancongan tanpa terma dan syarat standard berikutan wabak tersebut.

Beliau juga berkata syarikat penerbangan tidak sepatutnya membezakan antara tempahan kumpulan untuk Group Inclusive Tour (GIT) dan individu yang melakukan perjalanan sebagai Free Independent Travellers (FIT).

Tindakan yang sama, katanya, akan mempercepatkan pembayaran semula secara menyeluruh dan pemulihan selepas-Covid-19.

Shazli berkata bayaran balik tunai akan membantu memulihkan keyakinan orang ramai terhadap syarikat penerbangan dan memberi amaran melambatkan bayaran balik tunai kepada agen pelancongan dan penumpang memberi kesan tidak baik kepada industri pelancongan.
“Ia boleh mencetuskan tindakan undang-undang yang tidak perlu,” katanya.

Beliau turut menyatakan kekecewaan terhadap Kementerian Pengangkutan dan Suruhanjaya Penerbangan Malaysia (Mavcom).

Beliau berkata suruhanjaya itu sepatutnya mengumumkan langkah-langkah bagi pelanggan untuk mendapatkan kembali wang mereka, sambil menambah ia “menyakitkan” bagi penumpang individu menunggu dalam tempoh yang tidak pasti untuk mendapat pembayaran semula, sementara “penderitaan itu lebih berlipat ganda dalam kalangan agen pelancongan”.

Beliau berkata Kementerian Pengangkutan harus mengambil kira syarikat penerbangan adalah yang pertama dalam rantaian bekalan yang panjang dan setiap tindakan diambil akan meninggalkan kesan terhadap industri pelancongan.

Matta, katanya, mahu kementerian mengumumkan beberapa arahan, iaitu, pembatalan biasa dan caj tempahan semula tidak akan dikenakan sehingga pandemik itu berakhir; memberi pelanggan pilihan untuk pembayaran balik tunai atau kredit untuk digunakan dalam tempoh 3 tahun; dan bayaran balik untuk pembatalan penerbangan akan dibayar sepenuhnya, termasuk bayaran sampingan.

Tiada ulasan: