Persatuan
pengusaha bas ekspres meminta kerajaan menyediakan subsidi khas untuk
industri pengangkutan awam susulan hilangnya pendapatan mereka sepanjang
perintah kawalan pergerakan.
Presiden Persatuan Pengusaha Bas
Ekspres Melayu Semenanjung (Pembawa) Tajudin Mohd Yunos, berkata sejak
PKP dikuatkuasakan operasi bas ekspres dihentikan dan mereka kini ibarat
kais pagi makan pagi untuk meneruskan kelangsungan syarikat.
“Kami
minta kerajaan untuk memberikan subsidi dari segi diesel dan
pengecualian bayaran tol selama enam bulan selepas PKP ditamatkan.
“Walaupun
kerajaan telah memberi Program Pengekalan Pekerja (ERP) kepada
syarikat, pengusaha masih perlu memikirkan untuk membayar titik pulangan
modal (BEP) dan kos operasi lain selepas kembali beroperasi nanti,”
katanya ketika dihubungi Malaysiakini.
Tajudin
Penguatkuasaan
PKP menyaksikan banyak perkhidmatan dan industri yang tidak termasuk
dalam kategori perkhidmatan penting perlu menghentikan operasi.
Selain
itu, orang ramai juga dilarang keluar rumah melainkan untuk beberapa
urusan penting, sekali gus menjejaskan perkhidmatan pengangkutan awam
seperti bas dan teksi.
Pada 6 April lalu, Perdana Menteri
Muhyiddin Yassin mengumumkan langkah tambahan Pakej Rangsangan Ekonomi
Prihatin Rakyat, yang antara lain meningkatkan peruntukan untuk program
subsidi upah daripada daripada RM5.9 bilion kepada RM13.8 bilion.
Menerusi
program itu, syarikat boleh memohon subsidi upah RM600 hingga RM1,200
bagi setiap pekerja mereka yang bergaji RM4,000 ke bawah, bergantung
kepada jumlah pekerja mereka.
Selain itu, kerajaan juga memberikan
moratorium bayaran pinjaman perniagaan selama enam bulan bermula April
2020 kepada perniagaan.
Mengulas lanjut, Tajudin berkata
terdapat 18 syarikat - meliputi 747 buah bas dan 1,100 pemandu bas
berdaftar - bernaung di bawah Pembawa.
Beliau turut mencadangkan
agar kerajaan menyediakan prosedur operasi standard (SOP) yang
"munasabah dan adil" untuk perkhidmatan bas ekspres sebaik PKP tamat dan
mereka beroperasi kembali.
“Jika sanitasi kepada bas perlu
dilakukan, kami minta pihak kerajaan melantik kontraktor yang boleh
memberikan harga berpatutan kepada pengusaha bas,” katanya.
Beliau
berkata harga tiket bas juga mungkin perlu dinaikkan jika pihaknya
perlu melaksanakan langkah keselamatan seperti penjarakan sosial di
kalangan penumpang, bagi menampung kos operasi syarikat.
Terdahulu, beberapa persatuan teksi turut menyuarakan gesaan yang sama, iaitu agar kerajaan menyediakan inisiatif khas buat pemandu teksi yang hilang punca pendapatan susulan PKP.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan