Ahad, 12 April 2020

Kita boleh ratakan keluk Covid-19 pada pertengahan Mei, kata pakar

Menurut pakar kesihatan awam, tindakan pantas menghentikan 
kemudahan awam berjaya memperlahankan kadar jangkitan Covid-19.
 
PETALING JAYA: Usaha Malaysia untuk “meratakan keluk” kes Covid-19 mungkin membuahkan hasil pada pertengahan Mei jika kerajaan dan orang ramai terus menguatkuasakan langkah keselamatan yang ada, kata seorang pakar kesihatan awam.

Dr Rafdzah Ahmad Zaki dari Universiti Malaya berkata, bilangan kes baru mungin menurun pada akhir April sebelum keluk itu rata pada Mei.

“Pada masa ini bilangan kes baru kelihatan berada pada aras konstan, iaitu lebih 100 kes setiap hari. Ia masih tinggi,” katanya dengan menambah bahawa ia mungkin berpunca daripada kegagalan orang ramai mematuhi arahan tidak keluar rumah pada awal Mac.

Beliau berkata, anggaran mengenai matlamat meratakan keluk didasarkan kepada keadaan semasa dan beberapa andaian di sebalik model yang digunakan untuk meramal statistic.
Prof Dr Rafdzah Ahmad Zaki
“Meratakan keluk” merujuk kepada proses kawalan penularan wabak Covid-19 yang menyaksikan jumlah kes tersebar dan tidak melonjak secara tiba-tiba, justeru megakibatkan kemudahan kesihatan, hospital dan wad kecemasan sesak dan tidak dapat menampung jumlah pesakit.

Rafdzah berkata, penutupan kemudahan awam di bawah perintah kawalan pergerakan (PKP) dan sekatan keluar-masuk penuh di kawasan berisiko tinggi berjaya memperlahankan kadar jangkitan Covid-19.

“Apabila kita perlahankan kadar jangkitan, maka seperti jangkaan, masa yang diambil untuk mencapai tahap sifar kes akan lebih lama,” katanya.

Corak jangkitan Covid-19 di Malaysia berbeza dengan negara lain seperti China, yang menyaksikan penularan lebih cepat wabak itu.

Bagaimanapun lonjakan semula kes jangkitan baru boleh berlaku jika langkah kawalan ditamatkan dan orang ramai tidak mengambil langkah perlindungan,” kata Rafdzah yang merupakan professor madya dan pensyarah dalam bidang epidemiologi di Jabatan Sosial dan Perubatan Pencegahan.

Perbandingan antara Malaysia dengan negara lain

Rafdzah berkata, taburan kes baru di Malaysia tidak sama seperti yang berlaku di China dan Korea Selatan.
Gambar worldometers.info.
China menyaksikan kemuncak kes pada pertengahan Februari sebelum angkanya merata dan jatuh pada Mac. Di Korea Selatan, bilang kes baru memuncak pada awal Mac sebelum ia menurun dan keluknya merata pada pertengahan Mac.
Gambar worldometers.info.
Malaysia mengalami peningkatan kes pada Mac, diikuti dengan peningkatan ketara pada pertengahan Mac. Berlaku lonjakan mengecut 190 kes baru pada 15 Mac berbanding 35 kes baru pada 14 Mac.

Kebanyakan kes berkait dengan himpunan jemaah tabligh di Masjid Sri Petaling pada awal Mac.

“Singapura dan Jepun meratakan keluk epidemiologinya pada paras lebih rendah daripada Malaysia. Walaupun kes mereka terus bertambah pada kadar lebih rendah, namun trend mereka masih menaik.”

Bagaimanapun perbandingan langsung dengan negara lain sukar dibuat kerana wujudnya perbezaan antara tahap kepadatan penduduk, sistem penjagaan kesihatan, sumber dan budaya, kata Rafdzah.
Pencapain Malaysia setakat ini?

Pelaksanaan pantas perintah kawalan pergerakan berjaya memperlahankan penularan wabak itu di negara ini.



“Kadar penggandaan (ia peningkatan hampir sekali ganda kes dalam 1 hari) di Malaysia tidak sepantas di China dan Itali,” katanya.

“Langkah tepat pelaksanaan PKP dan mengenal pasti kawasan zon merah membantu meratakan keluk jangkitan baru.

“Aktiviti penjejakan kontak dan isolasi secara meluas juga mengurangkan jangkitan dalam masyarakat, sekali gus menghalang keadaan menjadi lebih buruk daripada di Itali dan Sepanyol.”

Beliau berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) bertindak bijak dengan memberi keutamaan kepada aktiviti saringan kes yang disyaki dan kluster kontak berikutan situasi kekurangan sumbernya.

“Walaupun terdapat tekanan supaya dilaksanakan langkah saringan besar-besaran ke atas anggota masyarakat, kementerian tidak terburu-buru membuat keputusan itu,” katanya.

Kapasiti makmal untuk menangani sampel juga mesti dipertimbangkan. “Berdasarkan kriteria saringan semasa, kita masih memerlukan masa 4-5 hari untuk mendapatkan keputusan.”

Rafdzah berkata, Malaysia bertindak baik dalam mempersiapkan kemampuan hospital awam bagi menghadapi peningkatan mendadak jumlah pesakit tenat yang mungkin memerlukan isolasi, oksigen dan bantuan penafasan mekanikal.

Tiada ulasan: