Rabu, 1 April 2020

Hangus RM50,000 ditipu

Nur Izzati Mohamad
 
NOORZAINY MOHD NOOR
 

DUA peniaga di Tasek Gelugor daerah kerugian hampir RM50,000 apabila masing-masing ditipu sindiket ‘phone scam’ dan pinjaman wang tidak wujud.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Asisten Komisioner Noorzainy Mohd Noor berkata, pihaknya menerima dua laporan polis semalam daripada dua individu berusia lingkungan 30-an.

“Laporan pertama membabitkan seorang peniaga wanita yang menerima panggilan telefon daripada individu yang memberitahu mangsa mempunyai tunggakan kad kredit sebelum panggilannya disambungkan kepada individu lain.

“Individu kedua yang kononnya seorang anggota polis memaklumkan mangsa mempunyai kes pengubahan wang haram dan dadah menyebabkan mangsa ketakutan,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Katanya, suspek kemudian mengarahkan mangsa memasukkan wang berjumlah RM19,000 ke dalam akaun diberikan sekiranya mahu kes digugurkan.

Menurutnya, mangsa menurut arahan suspek dan mengeluarkan wang simpanan Amanah Saham Bumiputera (ASB) miliknya untuk membuat bayaran.

Noorzainy berkata, mangsa kemudian menyedari terjerat dengan sindiket penipuan dan tampil membuat laporan polis.

Beliau berkata, kes kedua pula membabitkan lelaki yang mempunyai perniagaan kedai perabot yang ingin membuat pinjaman berjumlah RM200,000 dengan seorang ejen yang hanya dikenali di Facebook.

“Mangsa memaklumkan dia meninggalkan maklumat peribadi pada iklan pinjaman wang yang kononnya diuruskan ejen sebuah bank tempatan sebelum menerima panggilan daripada ejen bank yang beralamat di Kuala Lumpur.

“Ejen itu memaklumkan akan memproses pinjaman yang ingin dipohon mangsa namun perlu membuat beberapa bayaran antaranya insuran, ansuran dan buka akaun bank lalu mangsa memindahkan wang miliknya melalui tujuh transaksi kepada tiga akaun diberikan suspek berjumlah RM30,890.96,” katanya.

Mangsa kemudian diarahkan lagi oleh suspek untuk membuat pemindahan wang namun tidak berbuat demikian selepas mengetahui dirinya sudah ditipu.

Katanya, kedua-dua kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Tiada ulasan: