Ahad, 16 Februari 2020

Zaid: Tak perlu layan undi percaya PAS

N FAIZAL GHAZALI




Hasrat PAS untuk melaksanakan undi percaya terhadap Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad di Parlimen tidak perlu dilayan, kata Pengerusi DAP Kelantan, Zaid Ibrahim.

Mengulas kenyataan Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan, Zaid berkata pihak yang berhak membuat keputusan mengenai peralihan kuasa perdana menteri adalah PH sendiri.

"Tak perlu layan PAS, itu karut. Kalau nak ikut PAS saya rasa akan rosaklah demokrasi.

 
"Hari ini Takiyuddin kata bahawa peralihan kuasa ini bertentangan dengan perlembagaan, mana dia belajar.

"Ini isu dalaman PH. Kalau PH buat keputusan nak bagi pada cikgu ini pun nanti, itu mereka punya pasallah," katanya kepada media selepas majlis Pengagihan Bantuan Awal Persekolahan sekolah Menengah Kebangsaan Sultan Ismail di Kota Bharu, hari ini.
Beliau berkata demikian sebagai mengulas isu peralihan kuasa antara Mahathir dan Presiden PKR, Anwar Ibrahim yang hangat diperkatakan mutakhir ini.

Terdahulu, Takiyuddin dilaporkan berkata, peralihan kuasa itu antara lain bertentangan dengan perlembagaan dan mencabar kuasa Yang di-Pertuan Agong.

Anggota Parlimen Kota Bharu itu juga mengakui tidak pernah berlaku lagi mana-mana parti pembangkang membawa usul ke Dewan Rakyat bagi menyatakan sokongan kepada perdana seperti yang sedang mereka usahakan sekarang.

Pun begitu tegasnya, langkah tersebut bukanlah salah untuk diambil dan sesuai dibawa ketika perdana menteri yang sedang berkhidmat dipertikaikan kedudukannya.

Sementara itu Zaid berkata, PH perlu menyelesaikan isu tersebut dengan satu keputusan tegas dan jelas.

Katanya, apa sahaja yang diputuskan oleh PH perlu dihormati dan tidak perlu dengar cadangan daripada parti lain.

"Tetapi kena buat keputusan, jangan biarkan rakyat dalam keadaan haru-hara dan keliru.

"Jadi saya seru hari Jumaat nanti empat parti (dalam PH) buat keputusan. Sama ada (keputusan) Mahathir terus berkhidmat sampai 2025 ke atau letak jawatan. Tak perlu lagi undi-undi itu," katanya.


Tiada ulasan: