Ahad, 9 Februari 2020

Usul percaya kepada PM beri peluang kepada ahli Parlimen

ANNUAR


SHAH ALAM – Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa menegaskan Pas mempunyai hak untuk membawa usul percaya kepada Perdana Menteri di Dewan Rakyat bulan depan sekiranya Speaker Dewan membenarkannya.

Menurutnya, sekiranya usul ini diterima, ahli Parlimen berpeluang membuat pendirian sama ada menyokong, menolak atau berkecuali dalam isu jawatan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Menurutnya, di peringkat parti, parti boleh memberi kebebasan kepada ahli Parlimen memilih mengikut pilihan masing-masing, mengundi mengikut whip atau berkecuali.

“Spekulasi akan terus berlaku, siapa pilih apa, sokong siapa. Politik Malaysia terus menarik dan tidak menentu, tapi ini tidak baik bagi negara.

“Pakatan Harapan (PH) adalah formula yang gagal, prestasinya lemah sekali dan rakyat tidak sabar mahukan kerajaan yang lain. Tapi prosesnya tidak mudah. Pilihannya banyak sekali,” katanya dalam satu kenyataan malam tadi.

Selain itu, Annuar yang juga Ahli Parlimen Ketereh menegaskan UMNO tidak perlu ‘busy body’ dengan masalah dalaman yang melanda PH dan pakatan itu perlu menyelesaikan masalah mereka sendiri.

Namun katanya, jika sesuatu perkara itu menyentuh perkara berkait kepentingan nasional, UMNO boleh memberi mandat kepada Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bagi membincangkan tindakan terbaik untuk parti.

“UMNO semakin pulih walaupun tugas memperkasa parti masih banyak di hadapan. UMNO perlu memikirkan dasar dan agenda untuk melepaskan rakyat dari himpitan semasa. UMNO tidak boleh memikirkan individu.

"UMNO perlu memikirkan apa yang terbaik bagi kaum Melayu, kaum bumiputera dan orang asal, kemajuan dan perkembangan islam, institusi raja-raja Melayu dan segala apa tertera dalam rukun negara dan Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Semalam, Dr Mahathir ketika ditemubual sebuah portal berita menjelaskan nasibnya bakal ditentukan oleh Dewan Rakyat sama ada beliau masih mempunyai majoriti ataupun tidak.

Tiada ulasan: