Jumaat, 14 Februari 2020

Ramai ahli parlimen tandatangan sokong Mahathir, tolak Anwar jadi PM

Buletin Asia


 Gambar hiasan.
 

KUALA LUMPUR – Ahli parlimen dari UMNO, PAS, Bersatu dan sebahagian ahli parlimen PKR yang pro Timbalan Presiden PKR Dato’ Sri Azmin Ali telah dipanggil untuk menandatangani deklarasi, untuk menyokong Tun Dr Mahathir Mohamad sebagai perdana menteri sehingga pilihan raya akan datang, lapor Sarawak Report.

Ia adalah secara langsung menentang konsensus Pakatan Harapan (PH) yang bercadang untuk memindahkan kuasa Perdana Menteri kepada Presiden PKR, Dato’ Sri Anwar Ibrahim.

Dakwa Sarawak Report, sekiranya jumlah yang mencukupi diperoleh, deklarasi itu akan berarak ke istana untuk mendapatkan perkenan Yang Dipertuan Agong bagi mengekalkan Mahathir dan menghalang Anwar untuk menjadi perdana menteri.

PAS terdahulu mengakui menyokong penuh pentadbiran Mahathir dan akan membuat undi percaya terhadap Pengerusi Bersatu itu di parlimen.

Khabar angin juga mendakwa PAS bekerjasama dengan sekurang-kurangnya sekumpulan besar UMNO, untuk menghalang Anwar dan parti sekutu yang lain dalam PH iaitu PAN dan DAP daripada terus mengemudi kerajaan.

Deklarasi ini membolehkan kemungkinan Bersatu, UMNO, PAS dan sebahagian wakil rakyat PKR membentuk kerajaan baharu tanpa PKR pro Anwar, PAN dan AMANAH.

Manakala parti-parti Sabah dan Sarawak berkemungkinan akan memilih untuk bersama ‘government of the day‘ bagi memastikan kesinambungan pembangunan dua negeri berkenaan.

Anwar dalam satu pertanyaan media berkata beliau tidak dimaklumkan secara rasmi berkenaan sokongan ramai ahli parlimen ke atas Mahathir, dan mendakwa perbuatan itu adalah perbuatan terdesak oleh ‘parti kalah’ yang mahu memecah belahkan PH.

Terdahulu, Mahathir telah berjanji akan menyerahkan kuasanya kepada Anwar namun acapkali ditangguhkan atas alasan mahu membaiki kerosakan negara dan memerlukan lebih banyak masa untuk menangani hal itu. – Buletin Asia

Tiada ulasan: