Jumaat, 7 Februari 2020

PKR tetap setia pada PH, pertahan mandat rakyat

MALAYSIAKINI




Ketika pemerhati dan peminat politik tertanya-tanya mengenai masa depan PH ketika ada khabar angin mendakwa bakal wujud pakatan baru tidak lama lagi, PKR hari ini menyatakan pendirian mereka dalam isu berkenaan.

Memberitahu Malaysiakini, Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Nasution Ismail, berkata parti itu akan mempertahankan mandat yang diberikan oleh rakyat pada pilihan raya umum lalu.

Katanya, PKR juga akan bersetia dengan persefahaman serta perjanjian yang dimeterai dengan PH.

"PKR bersikap setia kepada PH dan kami akan mempertahankan mandat diberi rakyat pada 2018," katanya.

Bagaimanapun ahli parlimen Kulim-Bandar Baru itu tidak memberikan penjelasan lanjut mengenai kenyataan tersebut.

Kenyataan tersebut dibuat Saifuddin ketika sesetengah pihak percaya akan wujud persefahaman baru membabitkan Umno dan Bersatu serta PAS.

Ia dikuatkan lagi dengan dakwaan bahawa Umno akan bermesyuarat mengenai hal itu esok.

Perdana Menteri yang juga Pengerusi PH, Dr Mahathir Mohamad, semasa mengulas isu itu dilaporkan berkata, beliau berasa seperti "melayang" apabila dimaklumkanakan mendapat sokongan daripada Umno dan PAS.

"Sesiapapun yang sokong, saya rasa seperti melayang (floating)," katanya.

Tiada ulasan: