Seorang pegawai di Jabatan Perdana Menteri hari ini membidas agamawan tertentu yang didakwanya menasihati agar pihak-pihak tertentu melanggar perjanjian yang telah dimeterai.
Menulis
secara panjang lebar, Ali Muda mengingatkan semangat dalam memelihara
perjanjian dengan memetik peristiwa Nabi Muhammad ketika menandatangani
perjanjian Hudaibiyah bersama kaum Quraisy di Mekah.
Pegawai
kepada menteri agama, Mujahid Yusuf itu berkata, meskipun perjanjian
Hudaibiyah dianggap berat sebelah, namun Rasulullah tetap berpegang utuh
dengan perjanjian berkenaan.
Dalam
perjanjian Hudaibiyah, antara syarat ditetapkan adalah Rasulullah dan
rombongannya tidak boleh mengerjakan umrah pada tahun tersebut dan
genjatan senjata selama 10 tahun.
"Jika perjanjian dengan orang-orang bukan Islam yang telah kerap kali memerangi Islam dengan senjata dan telah membunuh ramai orang Islam pun dihormati, dipelihara dan ditunaikan, apatah lagi perjanjian sesama warga negara yang merdeka dalam sebuah negara seperti Malaysia," kata Ali.
'Tak menepati ajaran Islam, sangat tak bermoral'
Tanpa menamakan individu terbabit, beliau menyifatkan perbuatan agamawan tersebut sebagai 'tidak menepati ajaran Islam' dan 'sangat tidak bermoral.
"Alasan agamawan penasihat agar mana-mana pihak melanggar perjanjian demi maslahat bangsa Melayu dan agama Islam adalah alasan yang sedikit pun tidak menepati ajaran Islam dan sangat tidak bermoral.
"Golongan agamawan berkepentingan dan sanggup menjual prinsip agama itu tidak akan dapat memberi perlindungan sedikit pun daripada hisab Allah s.w.t. pada hari kiamat, iaitu pada hari pemimpin rakyat yang mengkhianati perjanjian rakyat itu akan dibangkitkan dalam keadaan terpacak di punggungnya panji yang tertulis perkataan ghadir (bermaksud: pengkhianat).
"Hal ini berdasarkan hadis sahih yang dikeluarkan oleh Imam Muslim.
"Bagaimana agamawan penasihat itu akan mampu memberikan perlindungan, sedangkan dirinya sendiri juga akan diazab seksa kerana jenayah mempersundalkan agama dan mencabul prinsip agama yang ditinggalkan oleh Nabi Muhammad s.a.w. dalam memelihara dan menunaikan perjanjian," katanya.
Kenyataan pegawai Mujahid itu dibuat di tengah-tengah spekulasi bahawa Umno dan PAS akan mengadakan kerjasama politik dengan Bersatu.
Sekiranya
desas-desus tersebut menjadi kenyataan, ketiga-tiga parti itu dikatakan
bakal membentuk sebuah kerajaan, dengan mengenepikan Amanah dan DAP.
Khabar
angin mengenai kerjasama itu turut mendorong kenyataan beberapa pihak,
dan antaranya ialah Mufti Perlis, Dr Mohd Asri Zainul Abidih.
Katanya, rakyat hari ini mendapati pentadbiran kerajaan "banyak tersangkut" manakala majoriti rakyat bimbang terhadap identiti negara yang terancam.
Menurut Mohd Asri dalam keadaan sekarang satu pembentukan kabinet diperlukan membabitkan gabungan ahli parlimen tertentu yang dapat memelihara identiti dan perlembagaan negara.
Mereka katanya mestilah berintegriti, berwawasan, dapat mengukuhkan ekonomi, menghormati Islam dan institusi asas negara.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan