KUALA LUMPUR – Dewan Pemuda Pas dan Pergerakan Pemuda UMNO
hari ini menganjurkan demonstrasi aman bagi membantah pelan damai Timur
Tengah yang dikenali sebagai ‘Deal of the Century’ di hadapan Kedutaan
Amerika Syarikat (AS) di Jalan Tun Razak, di sini.
Hampir 300 peserta menyertai perhimpunan aman itu yang mula berarak
dari bangunan Lembaga Tabung Haji (TH) menuju ke Kedutaan AS sesudah
solat Jumaat, kira-kira jam 2.30 petang tadi.
Perhimpunan aman lebih dua jam itu bukan sahaja mendapat
kerjasama daripada pihak polis, bahkan anggota Jabatan Amal Pas turut
membantu mengawal keselamatan dan lalulintas.
Demonstrasi bantahan itu dihadiri oleh Naib Presiden Pas, Idris
Ahmad; Ketua Dewan Pemuda Pas, Ir Khairil Nizam Khirudin dan Naib Ketua
Pergerakan Pemuda UMNO, Shahril Sufian Hamdan.
Dalam perhimpunan ini juga, lori satu tan dijadikan sebagai pentas
kepada pemimpin Pas, UMNO dan beberapa wakil NGO untuk berucap dan
menyatakan bantahan kepada ‘Deal of the Century’ anjuran AS yang memihak
kepada Israel berbanding Palestin.
Selain itu, sekumpulan mahasiswa membawa kain rentang tertulis
Mahasiswa Mendesak Batalkan ‘Deal of the Century’ yang didakwa menafikan
hak rakyat Palestin, sambil membawa replika Presiden AS, Donald Trump
sebelum membakarnya.
Sebelum peserta himpunan bersurai kira-kira jam 4 petang tadi,
pimpinan Dewan Pemuda Pas mengetuai bacaan doa berhadapan dengan
Kedutaan AS supaya seluruh dunia memberi tekanan. – MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan