Isnin, 10 Februari 2020

Orang AS baik, tapi bukannya Trump, kata Dr M

Dr Mahathir Mohamad berkata, Donald Trump ‘menghina peranan 
dan polisinya’ serta cuba ‘menggunakan tekanan asing untuk 
memenangi pilihan raya’.
 
PETALING JAYA: Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad mempertahankan gesaannya untuk Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump meletak jawatan kerana mencadangkan pelan damai Timur Tengah.

“Saya bukan kata untuk semua rakyat Amerika. Saya cuma kata berkenaan dengan Presiden Trump saja. Saya dapati orang Amerika ialah orang baik-baik, tetapi bukannya Presiden Trump.

“Saya suruh dia letak jawatan untuk selamatkan Amerika,” katanya selepas merasmikan sebuah dialog dengan masyarakat perniagaan Perancis di Cyberjaya hari ini.

Sabtu lalu, Mahathir meminta Trump melepaskan jawatannya kerana cadangan pelan damai untuk Israel dan Palestine yang disifatkan Trump sebagai “perjanjian abad ini”, “tidak boleh diterima langsung” dan akan menimbulkan lebih banyak konflik di Timur Tengah.

Susulan itu, Kedutaan AS di Malaysia semalam menyuarakan kekecewaan terhadap kenyataan Mahathir itu yang dikatakan “tidak sejajar semangat dialog membina yang telah lama menjadi asas hubungan AS-Malaysia”.

Hubungan itu, kata Kedutaan AS, membuahkan hasil penting di peringkat rantau dan global.

Mahathir dilaporkan berkata, Trump “menghina jawatan dan polisinya” dan “cuba menggunakan tekanan asing untuk memenangi pilihan raya”.

Trump giat berkempen untuk pilihan raya presiden yang akan diadakan pada 3 Nov ini.

Tiada ulasan: