Khamis, 6 Februari 2020

Mengapa UMNO harus takut?




DENGAN 38 kerusi Parlimen dimiliki sekarang, mengapa UMNO kelihatan sangat takut dengan sehingga khabarnya bimbang `tertinggal bas’ untuk menyertai sama Pas menyertai pakatan baharu?

Ahli UMNO yang seramai 3.6 juta atau barangkali lebih, pasti sekali tidak mahu UMNO yang sumbing dahulu. Dan tak mahu pecah lagi kerana tidak baik untuk orang Melayu.

Mereka tentunya mahu lupakan kisah-kisah penyelewengan dan rasuah pemimpin tertentu yang lepas-lepas, terutama beberapa tahun sebelum pilihan raya umum ke-14 (PRU-14).

Ahli UMNO seharusnya kembali ke landasan perjuangan asal – berbangga dengan parti. Bak kata Tok Mat Hasan, jangan gopoh dek terpikat dengan lamaran pihak tertentu hari ini sehingga memilih `pintu belakang’ untuk membentuk pakatan baharu.

Renungkanlah sejarah UMNO. Dari slogan Hidup Melayu (1946) sampai ke pekikan MERDEKA (1956), parti United Malays National Organisation ini dihempas-pulas, disepak-terajang, dimaki hamun oleh musuh dan lawan.

Namun UMNO tetap bangkit dan bergaya dengan penuh jasa dan kewibawaan. Ia tetap menyingsing lengan dan terus jadi obor kepada perjuangan bangsa, agama dan tanah air.

Lantaran UMNO sudah begitu banyak berjasa dengan menebus mauah bangsa dan memerdekakan Semenanjung Tanah Melayu dan mewujudkan Malaysia, kadangkala cawangan UMNO di kampung dan bandar hanya kelihatan sebagai perkara dan entiti biasa.

Malah sepatutnya kibaran sangsakar merah putih dengan sebilah keris di tengah-tengahnya layak diseimbang dan disimbolkan sebagai penyelamat bangsa Melayu. Warna putih tanda kesucian hati; merah membawa erti semangat perjuangan berkobar-kobar; sebilah keris warna hijau di tengah-tengah bendera itu jadi perlambangan pusaka jatidiri Melayu. Ia juga layak dianggap sebagai senjata bangsa, perisai penyelamat daripada serang-hendap musuh negara.

Pada usia menghampiri 74 tahun, jika seorang insan, ia sudah boleh berkira-kira untuk berehat dan bersara dari jawatan rasmi. Tetapi sebagai parti poitik yang berjuang mengekalkan marwah bangsa agama dan tanah air, umur tujuh dekad itu hanya cukup untuk mengorak langkah baharu, mencari tapak yang lebih kukuh dan menerokai cita-rasa bangsa yang lebih menjamin.

Dari sudut perhitungan perjuangan, UMNO sudah mengumpul begitu banyak trofi kejayaan. Memerdekakan Tanah Melayu, Mewujudkan Persekutuan Malaysia, mendaulatkan bahasa Melayu sebagai bahasa Kebangsaan, menjamin kedaulatan Raja-Raja Melayu, menjulangkan hak-hak istimewa Melayu dan Bumiputera serta hak sahih kaum-kaum lain.

UMNO melahirkan Perlembagaan Persekutuan dan sekian banyak hak serta kuasa pemerintahan yang dikecapi pada hari ini. UMNO mencipta Dasar Eknomi Baru (DEB) ke tahap yang ada pada hari ini sekalipun tahap capaian ekonomi Bumiputera masih tanda tanya – di atas atau di bawah 30% berbanding kumpulan aset ekonomi kaum-kaum. UMNO memberi hak ilmu pelajaran kepada berjuta orang. Inilah yang mencerminkan keupayaan politik bangsa Melayu yang kini boleh dianggap luarbiasa.

Keenam-enam orang presiden UMNO semenjak merdeka semuanya menjadi Perdana Menteri, sambil jawatan Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Besar dipegang oleh orang Melayu.

Semenjak 1971, tahun permulaan DEB, ribuan anak bangsa dilatih dan diberi kemudahan pelajaran serta latihan. Malah ada dalam kalangan musuh UMNO kini yang terdiri dari peneroka UMNO sendiri.

Sekumpulan dari golongan inilah yang juga bertukar menjadi penentang UMNO kini. Sebahagian mereka ini pernah jadi Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri, Menteri, Timbalan Menteri dan Menteri Besar UMNO – kini mereka menentang UMNO dan Barisan Nasional. Mereka berkata, dulu lain sekarang lain. Jika inilah saja penjelasan mereka, jelas bahawa mereka lupa sejarah dan lupa budi sekalipun pada zaman ini budi tidak lagi menjadi isian budaya tinggi.

Lupakan `pintu belakang’. Lupakan `lamaran’ pihak tertentu.

Pemimpin UMNO di peringkat Majlis Tertingginya harus mencetuskan gema perjuangan baharu untuk membadai pesaing-pesaingnya dalam tahun-tahun menghampiri PRU-15.

Tunjukkan kepada ahli bahawa UMNO mampu kembali berkuasa dan berjuang semula membela orang Melayu.– SM

Tiada ulasan: