Jumaat, 14 Februari 2020

Mahkamah tolak ikat jamin exco Melaka didakwa sokongan LTTE

Hakim Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonan 
ikat jamin Exco Melaka, V Suresh Kumar yang didakwa 
menyokong LTTE.
 
KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini menolak permohonan ikat jamin Exco Melaka, V Suresh Kumar yang didakwa memberi sokongan kepada kumpulan pengganas Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE).

Hakim Collin Lawrence Sequerah memutuskan peruntukan di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah Khas) 2012 (Sosma) yang tidak membenarkan ikat jamin bagi tertuduh berdepan tuduhan berkaitan keganasan, adalah berperlembagaan.

“Saya dengan hormatnya membuat keputusan berbeza daripada rakan sejawatan saya (Hakim Mahkamah Tinggi Mohd Nazlan Mohd Ghazali) dalam kes G Saminathan.

“Saya dapati peruntukan dalam Seksyen 13 Sosma berhubung larangan ikat jamin bagi orang yang dituduh dengan kesalahan berkaitan keganasan adalah berperlembagaan. Oleh itu, permohonan ini ditolak,” katanya merujuk keputusan satu lagi Mahkamah Tinggi.

Sequerah berkata, mahkamah tidak boleh bertindak sewenang-wenangnya ke atas kes berkaitan permohonan ikat jamin untuk individu yang dituduh dengan kesalahan keganasan.

“Ini kerana asas untuk melaksanakan kuasa itu tiada. Jadi tidak timbul persoalan menyingkirkan kuasa kehakiman.”

Pada 10 Feb lalu, Hakim Mahkamah Tinggi Mohamed Zaini Mazlan menolak permohonan ikat jamin seorang lagi tertuduh, B Subramaniam yang didakwa memberi sokongan kepada LTTE melalui media sosial.

Zaini berkata, Seksyen 13 Sosma adalah sah mengikut Perlembagaan.

Keputusan Sequerah dan Zaini berbeza dengan penghakiman Nazlan yang membatalkan Seksyen 13, dengan berkata mahkamah boleh mempertimbangkan permohonan ikat jamin kerana badan kehakiman wujud untuk menyemak badan perundangan dan eksekutif.

Peguam Harshaan Zamani memberitahu mahkamah beliau perlu mendapatkan arahan Suresh berhubung keputusan hari ini.

Tiada ulasan: