KUALA LUMPUR – Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Datuk Lokman Noor Adam hari ini dipecat sebagai ahli UMNO.
Tindakan tersebut diputuskan Majlis Tertinggi UMNO yang bermesyuarat hari ini.
Ahli MT, Datuk Puad Zarkashi dalam hantaran di laman Facebook pula berkata, Lokman dipecat atas syor Biro Politik bukan atas syor Lembaga Disiplin.
“Apa fungsi Lembaga Disiplin? Kenapa Hishamuddin Hussien On tidak dikenakan tindakan sama.
“Tidakkah perbuatan beliau mengadakan pertemuan beberapa kali dengan Tun M tanpa memaklumkan MKT dan Presiden UMNO adalah melanggar disiplin parti,” soal Puad.
Katanya, keputusan tersebut juga tidak menghormati institusi Presiden.
“Bukan kerana mahu mempertahankan Lokman tetapi tindakan mestilah adil dan jangan selektif. Apa pun saya telah menyuarakan pendirian saya ini dalam MKT. Tapi GAGAL,” katanya.
Baru-baru ini Lokman mendedahkan rakaman audio Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi berkaitan cadangan kerjasama antara UMNO dan Bersatu di bawah kepimpinan Tun Dr Mahathir Mohamad.
Tindakan beliau mengundang kritikan pelbagai pihak malah ada yang mendakwa rakaman audio itu telah disunting dan tidak menggambarkan keseluruhan ucapan Zahid. – MalaysiaGazette
Tiada ulasan:
Catat Ulasan