Jumaat, 7 Februari 2020

Lembaga Disiplin akan siasat Lokman kritik Zahid, kata Bung

Lokman Noor Adam tidak menghadiri mesyuarat Majlis Kerja 
Tertinggi Umno hari ini yang dipengerusikan Ahmad Zahid Hamidi.
 
KUALA LUMPUR: Umno menyerahkan kepada Lembaga Disiplin untuk menyiasat dan mengambil tindakan terhadap Ahli Majlis Tertingginya, Lokman Noor Adam kerana mengkritik Presidennya, Ahmad Zahid Hamidi baru-baru ini, kata Bung Moktar Radin.

“Kita akan serah pada Lembaga Displin untuk memutuskan,” kata ahli Majlis Tertinggi Umno itu selepas mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi selama 4 jam di Pusat Dagangan Dunia Putra hari ini.

Lokman tidak menghadiri mesyuarat hari ini yang dipengerusikan Zahid.

Isnin lalu, Lokman membidas Zahid yang didakwa berkata, Umno bekerjasama dengan Perdana Menteri, Dr Mahathir Mohamad kerana PAS melakukan perkara sama.

Katanya, Umno memerlukan pemimpin yang sedia berjuang untuk rakyat, bukannya individu yang “berkompromi dengan golongan berkuasa”.

Oleh itu, beliau menggesa Zahid berundur jika hanya mampu tunduk kepada Mahathir bagi menghalang pendaftaran Umno dibatalkan dan akaun banknya dibekukan.

Lokman berkata, beliau mempunyai rakaman audio 3 minit didakwa ucapan Zahid mengemukakan 4 sebab kenapa parti itu perlu bekerjasama dengan Mahathir, dalam satu mesyuarat Umno mengenai Muafakat Nasional.

PAS secara terbuka menyokong Mahathir sebagai perdana menteri sehingga habis penggal pentadbiran PH.

Tak bincang kerjasama Umno dan Mahathir

Bung berkata, mesyuarat hari ini hanya membincangkan cara mengukuhkan Muafakat Nasional antara parti itu dan PAS, bukannya kerjasama Umno dengan Mahathir.

“Muafakat Nasional ada (bincang). Memperkukuhkan Muafakat Nasional untuk hadapi pilihan raya umum ke-15.”

Katanya, pimpinan Umno akan mengadakan pertemuan dengan PAS esok, tetapi tidak mendedahkan butirannya.

Sementara itu, Bung berkata, beliau akan menyokong Mahathir jika perdana menteri itu melakukan perkara baik untuk negara.

Beliau mengulas kenyataan Mahathir semalam yang meminta PAS dan Umno menyokong kerajaan di Parlimen, selepas 2 parti itu menyuarakan kesediaan bekerjasama dengannya.

Tiada ulasan: