Sabtu, 22 Februari 2020

Keputusan gugur pendakwaan kes LTTEperlekeh polis: Musa

MUSA
 

SHAH ALAM - Keputusan Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas menggunakan kuasa budi bicara bagi memberhentikan prosiding perbicaraan terhadap 12 individu kerana didakwa terlibat dengan kumpulan Harimau Pembebasan Tamil Eelam (LTTE) disifatkan sebagai berat sebelah dan memperlekehkan tindakan polis.

Bekas Ketua Polis Negara, Tan Sri Musa Hassan berkata, keputusan itu juga seolah-olah menunjukkan LTTE, yang masih disenaraikan sebagai sebuah kumpulan pengganas oleh Kesatuan Eropah (EU) sehingga kini, seolah-olah istimewa berbanding kumpulan pengganas lain.

Menurutnya, sekiranya pihak yang mengagungkan atau bersimpati dengan mana-mana individu atau kumpulan pengganas tidak menjadi kesalahan, mengapa bekas pelajar Universiti Malaya (UM), Aishah Atam dipenjarakan atas dakwaan memiliki 12 buku mempromosi fahaman militan tiga tahun lalu?

"Bagi saya, keputusan dibuat (Peguam Negara) adalah berat sebelah. Mengapa LTTE dilayan sebagai sebuah kumpulan berbeza berbanding kumpulan pengganas atau militan lain?

"Dalam satu laporan akhbar antarabangsa, Daily Mirror semalam, LTTE terus disenaraikan sebagai sebuah kumpulan pengganas dalam senarai terkini individu dan organisasi yang dikaitkan dengan aktiviti keganasan oleh Kesatuan Eropah.

"Kalau tindakan menyimpan gambar pemimpin pengganas tidak termasuk dalam elemen-elemen 'perbuatan pengganas', kerajaan kena bebaskan juga Aishah dan orang lain dikaitkan pengganas," katanya kepada Sinar Harian semalam.

Beliau mengulas keputusan Peguam Negara yang mengejutkan seluruh negara.


Peguam Negara menggugurkan kesemua 34 pendakwaan terhadap kesemua 12 tertuduh dikaitkan dengan LTTE setelah membuat keputusan bahawa tiada prospek jelas untuk sabitan terhadap mereka.
 
Dalam kenyataan media sepanjang 11 muka surat, Thomas berkata, setiap seorang daripada mereka mempunyai gambar Velupillai Prabhakaran dan pemimpin-pemimpin lain LTTE yang terbunuh semasa Perang Saudara di Sri Lanka pada telefon bimbit atau akaun Facebook masing-masing.

"Sekiranya perbuatan sedemikian boleh terjumlah sebagai satu kesalahan jenayah, ia akan meletakkan undang-undang ke tempat tidak dihormati.

"Namun walaupun berkemungkinan terdapat elemen-elemen 'perbuatan pengganas' di pihak kesemua atau mana-mana antara 12 tertuduh LTTE dengan memiliki, mengedar atau memaparkan gambar-gambar itu atau Prabhakaran, ia adalah mustahil bagi pendakwaan untuk membuktikan bahawa mereka yang tidak termasuk dalam kategori pengecualian Seksyen 130B (4) Kanun Keseksaan yang mana ia sekadar terjumlah 'sokongan, bantahan atau pertentangan pendapat'," kata Thomas.

Musa turut menganggap keputusan menggugurkan pendakwaan terhadap individu-individu terbabit LTTE sebagai tindakan memperkecil dan memperlekehkan tindakan polis.

Menurutnya, pihaknya tidak bersetuju dengan keputusan itu kerana pihak polis bekerja keras bagi mendapatkan bukti-bukti untuk menunjukkan mereka terlibat sebagai pentaksub atau penyokong individu atau organisasi dikaitkan aktiviti keganasan.

"Implikasi daripada keputusan dibuat Peguam Negara sangat besar terutama kepada mereka yang pernah dikenakan tindakan undang-undang setelah didakwa memiliki bahan-bahan berkaitan pihak pengganas.

"Pandangan saya, kerajaan kini perlu berkira-kira membebaskan semua individu ditangkap kerana ada kaitan dengan kumpulan pengganas lain atau tutup terus cawangan polis Bahagian Anti-Keganasan lebih senang," katanya.

Peguam Negara menggugurkan kesemua 34 pendakwaan terhadap kesemua 12 tertuduh dikaitkan dengan LTTE setelah membuat keputusan bahawa tiada prospek jelas untuk sabitan terhadap mereka.
 
Dalam kenyataan media, Thomas menjelaskan keputusan beliau menggugurkan kesemua 34 pendakwaan terhadap kesemua 12 tertuduh dikaitkan dengan LTTE setelah membuat keputusan bahawa tiada prospek jelas untuk sabitan terhadap mereka.

"Oleh demikian, dalam menjalankan kuasa budi bicara saya menurut Perkara 145 (3) Perlembagaan Persekutuan, saya memutuskan untuk memberhentikan prosiding-prosiding terhadap mereka berkuat kuasa serta-merta,"katanya.

Sejumlah 12 individu ditahan polis pada 29 Oktober tahun lalu dan didakwa di bawah Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-langkah khas) 2012, atau dikenali sebagai SOSMA sejak itu.

Antara 12 individu ditahan adalah dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), P Gunasekaran dari DUN Seremban Jaya dan G Saminathan (Gadek).

ARTIKEL BERKAITAN LTTE: AG tamatkan prosiding terhadap 12 individu

Tiada ulasan: