Jumaat, 21 Februari 2020

Himpunan 220220 pindah ke Dataran Merdeka

Nizam Zain
Nazrin Norani
Presiden Sedar Malaysia, Nazrin Norani bercakap pada sidang media berkenaan Himpunan 220220 di hadapan Ibu Pejabat Daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur. foto AFIQ RAZALI
 

KUALA LUMPUR – Susulan penyertaan Himpunan 220220 dijangka mendapat sambutan luar biasa – Pertubuhan Gabungan Kuasa Rakyat dinasihatkan untuk memindahkan lokasi perhimpunan itu dari pusat beli-belah Sogo ke Dataran Merdeka.

Jurucakapnya, Mohamad Nazrin Norani berkata, pihak berkuasa termasuk Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) bersedia memberikan permit dan kebenaran berhimpun sekiranya arahan dipatuhi termasuk menukar lokasi.

“Kita sepatutnya mengadakan himpunan itu di Sogo tapi pihak berkuasa risau jumlah yang terlampau ramai itu akan menyusahkan orang lain, jadi kita pindah ke Dataran Merdeka.

“Depan Sogo boleh muat 200 hingga 300 orang sahaja, pihak Sogo minta supaya tidak dibuat di situ supaya tidak mengganggu perniagaan mereka.

“Secara lisannya, DBKL bersetuju untuk memberikan permit dan polis pula bersedia untuk memberikan kebenaran,” katanya pada sidang media di hadapan Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi hari ini.

Himpunan 220220 antara lain mengemukakan 10 tuntutan dalam tempoh 100 hari dan sekiranya gagal, penganjur akan mendesak Parlimen dibubarkan bagi memberi laluan kepada PRU-15.

Antara 10 tuntutan itu ialah bertanggungjawab terhadap kegagalan memimpin dan mentadbir negara, Perdana Menteri dan anggota kabinet wajib meletakkan jawatan, barisan kepimpinan baharu harus bebas daripada sebarang skandal serta bertanggungjawab ke atas kedaulatan undang-undang dan maruah institusi yang tercemar.

Selain itu, mereka juga menuntut agar Ketua Pesuruhjaya SPRM, Pengerusi SPR dan Peguam Negara mengundang persepsi negatif wajib meletakkan jawatan kerana institusi-institusi berkenaan wajib bebas daripada pengaruh politik. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: