Khamis, 6 Februari 2020

GM Klang nafi wujud kes coronavirus

sitifatimah

 

Hanya kongsikan mengenai langkah pencegahan virus

SHAH ALAM – Pusat pemborong GM Klang menafikan berlakunya jangkitan novel coronavirus 2019 (2019-nCoV) di gedung membeli-belah berkenaan seperti yang tular di media sosial.

Jabatan Komunikasi Korporat dan Perhubungan Awam GM Klang berkata, perkara itu dipercayai tercetus susulan pengumuman dibuat oleh bahagian khidmat pelanggannya sebelum ini yang berkongsikan tentang langkah-langkah pencegahan koronavirus seperti disyorkan Kementerian Kesihatan (KKM).

“Niat baik itu disalahertikan oleh sesetengah pihak yang beranggapan pengumuman itu dibuat kerana terdapat kes coronavirus di GM Klang.

“Maklumat palsu yang dicipta dan disebarkan oleh pihak tidak bertanggungjawab ini telah menimbulkan perasaan cemas dan bimbang dalam kalangan banyak pihak,” kata jabatan itu dalam kenyataan di sini, hari ini.

Jabatan itu menyatakan, GM Klang amat memandang serius mengenai penyebaran berita palsu seumpama itu kerana ia mencemar kredibiliti dan mengganggu aktiviti perniagaan di gedung beli-belah berkenaan.

Justeru kata jabatan tersebut, GM Klang telah membuat aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) tentang isu terbabit supaya siasatan dapat dijalankan serta tindakan susulan dikenakan terhadap penyebar maklumat palsu berkenaan.

“Kami menyarankan orang ramai supaya tidak terpedaya dengan berita palsu ini dan merujuk kepada saluran yang dipercayai sebelum mengesahkan mana-mana berita yang diterima,” kata kenyataan itu. – Bernama


Tiada ulasan: