Rabu, 19 Februari 2020

Dua beranak parah angkara pemandu mabuk

fazleen safina

 

4 sekeluarga dirempuh sebuah kereta ketika berada di tepi jalan

ALOR SETAR – Lagi kes pemandu mabuk. Terbaharu, empat beranak cedera termasuk seorang wanita bersama bayi perempuan parah, selepas dirempuh sebuah kereta ketika berada di tepi jalan Persiaran Sultan Abdul Halim, malam tadi. Kejadian berlaku jam 11.30 malam selepas sebuah kereta jenis BMW terbabas melanggar bahagian belakang sebuah van persiaran.

Pelanggaran itu mengakibatkan kereta berkenaan terbalik sebelum merempuh empat beranak yang ketika itu berada di tepi jalan.

Mangsa Bashirah ohd Yazid, 31 dan bayinya Norhidayah Ahmad Yusof, 12 bulan cedera parah dan kini menerima rawatan kecemasan di Hospital Sultanah Bahiyah.

Selain itu, bapanya, Ahmad Yusof Che Kar, 42, dan abang mangsa, Mohamad Taufiq Ahmad Yusof, 10, hanya cedera ringan menerima rawatan pesakit luar di hospital sama.

Ketua Polis Daerah Kota Setar, Asisten Komisioner Mohd Rozi Jidin, berkata, siasatan awal mendapati van persiaran yang dipandu lelaki berusia 58 tahun dari Ampang, Selangor dikatakan keluar dari arah simpang susuran Sultan Abdul Hamid 3, yang sedang bergerak lurus.

“Namun selepas van persiaran itu bergerak pada jarak lebih kurang 20 meter, kenderaan itu dilanggar dari arah belakang oleh kereta BMW yang datang dari arah Jalan Teratai.

“Akibat perlanggaran itu, kereta BMW itu hilang kawalan lalu terbabas dan melanggar empat mangsa yang berada berhampiran lokasi kejadian.

“Pemandu BMW berusia 39 tahun itu yang turut mengalami kecederaan kini dirawat di sebuah hospital swasta di sini,” katanya seperti dilapor Berita Harian.

Mohd Rozi berkata, saringan awal mendapati pemandu BMW memandu di bawah pengaruh alkohol, namun siasatan lanjut masih dijalankan mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Tiada ulasan: