Sabtu, 15 Februari 2020

2 lagi warga China positif Covid-19 di Malaysia


Kakitangan perubatan di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru 
bersiap sedia dengan pod isolasi yang akan digunakan untuk 
memindahkan pesakit dijangkiti Covid-19. (Gambar Facebook)

PETALING JAYA: Malaysia mencatatkan 2 lagi kes jangkitan baru Covid-19 dengan kedua-duanya ialah warga China, kata Menteri Kesihatan, Dzulkefly Ahmad.

Ini menjadikan keseluruhan 21 kes disahkan setakat ini yang terdiri daripada 6 warga tempatan dan 15 rakyat China.

Katanya, pesakit ke-20 ialah lelaki warga China yang dikesan mempunyai simptom itu melalui saringan kesihatan di pintu masuk Bukit Kayu Hitam, semalam.

Beliau berkata, sampel klinik mengesahkan ahli perniagaan berusia 27 tahun itu positif Covid-19 pagi tadi dan kini beliau dirawat di wad isolasi Hospital Sultanah Bahiyah, Kedah.

Dzulkefly berkata, kes ke-21 ialah wanita warga China berusia 32 tahun yang menetap di Malaysia.
“Beliau telah pulang ke China melawat keluarga pada 22 hingga 30 Jan lalu,” katanya pada sidang media hari ini.

Katanya, lebih banyak butiran akan diberikan petang ini.

Semalam, Timbalan Perdana Menteri, Dr Wan Azizah Wan Ismail dilaporkan berkata, 4 pesakit Covid-19 dibenarkan pulang semalam, menjadikan keseluruhan 7 pesakit yang sembuh dan dibenarkan pulang.

Katanya, 4 individu itu ialah kontak rapat kes pertama yang dilaporkan di Singapura.

Mereka dimasukkan ke wad isolasi Hospital Sungai Buloh pada 24 Jan lalu dan disahkan sembuh sepenuhnya selepas ujian pengesanan 2 kali didapati negatif.

Tiada ulasan: