Khamis, 21 November 2019

Penjawat awam Johor dapat minimum RM2,000 bantuan khas

Sahruddin Jamal berkata, pemberian bantuan khas bertujuan 
menghargai komitmen, dedikasi dan pengorbanan penjawat 
awam dalam membangunkan Johor. (Gambar Bernama)
 
ISKANDAR PUTERI: Kerajaan Johor mengumumkan pemberian bantuan khas kewangan sebulan gaji atau minimum RM2,000 kepada 13,400 penjawat awamnya.

Menteri Besar Johor, Sahruddin Jamal berkata, bantuan melibatkan peruntukan RM34.78 juta itu akan dibayar 2 kali, iaitu sebelum akhir tahun ini dan sebelum sambutan Aidilfitri tahun depan.

“Saya ingin menjelaskan pembangunan Johor tidak akan dapat dicapai seperti mana yang kita nikmati hari ini tanpa komitmen, dedikasi dan pengorbanan penjawat awam negeri.

“Justeru, bagi menghargai jasa penjawat awam, kerajaan negeri bersetuju memberikan bantuan kewangan khas,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Johor 2020 di Dewan Undangan Negeri di Kota Iskandar hari ini.

Sahruddin berkata, bantuan khas itu turut diberikan kepada kakitangan kerajaan negeri dan persekutuan yang dibayar gaji oleh kerajaan negeri, selain semua exco Johor, speaker dan timbalan speaker DUN Johor, Adun dan Ahli Jumaah Majlis Diraja Johor.

Ahli Suruhanjaya Perkhidmatan Awam Johor (SPAJ), guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (Kafa), petugas Pusat Pemulihan Dalam Komuniti dan guru Tadika Islam Johor (TAJ) juga akan menerima bantuan khas itu.

Sementara itu, Sahruddin berkata, seramai 2,090 guru Kafa akan menerima elaun penuh sebanyak RM1,412 sebulan mulai Januari depan membabitkan peruntukan berjumlah RM1.67 juta.

Beliau berkata, sebagai inisiatif mengukuhkan institusi kekeluargaan, kerajaan negeri menerusi Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Takzim (YPDKT) memperuntukkan RM800,000 untuk membina dan membaik pulih taska di bangunan Kuarters Kerajaan Jalan Tajul, Kota Tinggi serta Taska YPDKT di Wisma Persekutuan, Johor Bahru.

Tiada ulasan: