Jumaat, 22 November 2019

Lokman Adam mohon ketepi perintah menghina mahkamah kerana ugut saksi 1MDB

Ahli Majlis Tertinggi Umno Lokman Noor Adam.
 
KUALA LUMPUR: Ahli Majlis Tertinggi Umno Lokman Noor Adam akan memfailkan permohonan untuk mengetepikan perintah Mahkamah Tinggi membenarkan pendakwa raya memulakan prosiding komital terhadapnya kerana didakwa mengugut saksi dalam perbicaraan kes 1MDB melibatkan Najib Razak.

Peguam beliau, Farhan Shafee memberitahu hakim Mahkamah Tinggi Lawrence Sequerah bahawa pihak pembelaan akan memfailkan dokumen yang perlu pada 29 Nov depan.

Hakim kemudian menetapkan tarikh sebutan kes berikutnya pada 6 Dis.

Bercakap kepada pemberita selepas itu, Farhan berkata, pihak pembelaan mahu mengetepikan perintah tersebut antaranya kerana ia cacat.

“Pihak pembelaan mencabar cara bagaimana prosiding menghina mahkamah ini dibawa ke mahkamah,” katanya.

Mahkamah Tinggi sebelum ini membenarkan prosiding menghina mahkamah dimulakan terhadap Lokman kerana mengugut saksi pendakwaan Amhari Efendi Nazaruddin.

Amhari, yang merupakan bekas pegawai khas Najib, memberi keterangan dalam kes salah guna kuasa dan pengubahan wang 1MDB oleh bekas perdana menteri itu dari 3 hingga 23 Sept lepas.

Pendakwa raya ad-hoc Gopal Sri Ram berkata, Lokman cuba campur tangan dalam pelaksanaan undang-undang.

Bekas hakim itu, yang dilantik sebagai ketua pasukan pendakwa dalam kes berkait 1MDB berkata, Lokman bukan sahaja membuat laporan polis terhadap Amhari, tetapi turut ditemu bual dalam satu klip video yang menyaksikan beliau didakwa mempersoal intergriti peguam negara.

Dalam laporan polis yang dibuat, Lokman menggesa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) menyiasat dan mendakwa Amhari kerana menerima wang daripada ahli perniagaan yang diburu, Low Taek Jho.

Beliau turut memuat naik satu klip video yang mengulangi dakwaan yang disebut dalam laporan berkenaan.

Tiada ulasan: