Sabtu, 9 November 2019

Kerajaan PH baru 18 bulan, berilah masa lima tahun – Guan Eng

Kumara Sabapatty
MGF09112019_CERAMAH-HARAPAN-TANJUNG-PIAI09
Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng berucap pada Program Ceramah Harapan Tanjung Piai sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) P.165 Tanjung Piai di Pusat Perdagangan Pontian, Johor. foto HAZROL ZAINAL
 

PONTIAN – Lim Guang Eng meminta Pengundi Parlimen Tanjung Piai memberikan masa kepada Pakatan Harapan (PH) untuk berkhidmat melengkapkan tempoh sepenggal.

Setiausaha Agung DAP itu berkata, walaupun banyak janji-janji yang belum dilaksanakan kerajaan sejak diberi mandat pada Mei 2018 tetapi banyak pembaharuan yang telah dilaksanakan dalam tempoh hampir 18 bulan lalu.

“Ya, saya akui ada banyak kita (PH) belum buat, tapi banyak telah dilaksanakan (pembaharuan) sejak membentuk kerajaan Putrajaya.

“Janganlah lupa kita hanya kerajaan berusia 18 bulan dan berilah masa lima tahun untuk kami menunaikan tanggungjawab yang dijanjikan.

“Kalau dalam 18 bulan harapkan semua masalah yang ditinggalkan kerajaan lama 60 tahun, hanya Tuhan sahaja yang boleh lakukan.

“Kami tak pernah cakap tidak akan menunaikan janji-janji yang diberikan, kita akan tunaikan janji, tapi dalam keadaan yang agak tidak menentu sekarang bukannya mudah. masalah ini diwarisi dari kerajaan lama dan biar kami akan cuba dalam tempoh 5 tahun ini,” katanya dalam ceramah kelompok di Pusat Perdagangan Pontian malam ini.

Turut hadir calon Pakatan Harapan dari Parti Pribumi Bersatu Malaysia (PPBM) Karmaine Sardini ke ceramah tersebut.

Guan Eng menambah, adalah penting pengundi Tanjung Piai memilih dan memberi peluang kepada wakil rakyat daripada kerajaan memerintah untuk berkhidmat di kawasan ini.

“Beri peluang kepada calon PH, Karmaine dan jangan dengar mereka cakap beri peluang kepada pembangkang menjadi suara di Parlimen.

“Kita sudah banyak kali memberikan peluang kepada mereka di Parlimen, berapa kali mahu berikan lagi.Sekarang beri peluang kepada diri sendiri supaya kita mengambil berat memajukan diri menerusi pilih calon Karmaine.

“Pemilihan Karmaine akan memudahkan segala pembangunan yang ditinggalkan arwah Dr.Md Farid Md Farik supaya diteruskan tanpa sebarang masalah,” tegasnya lagi.-MalaysiaGazette

Tiada ulasan: