PRK TG PIAI | Calon BN,
Wee Jeck Seng, berjanji untuk menghidupkan semula program tajaan warga
emas Muslim ke Mekah jika beliau memenangi persaingan pada 16 Nov ini.
“Mungkin tuan puan masih ingat, saya ada buat satu program khas untuk masyarakat Melayu.
Sebahagian daripada mereka dah berusia, tapi ada niat nak ke tanah suci, tapi tak kesampaian.
“Maka dengan itu, saya buat satu program untuk menghantar 10 lelaki warga emas ke tanah suci untuk menjalankan umrah [...] (ketika itu).
“Saya janji, insya-Allah, kalau kita menang kali ni, maka kita mahu hantar lagi warga emas sedemikian ke tanah suci untuk umrah,” katanya.
Wee yang juga ketua MCA Tanjung Piai berucap sedemikian semasa sesi memperkenalkan diri di ceramah kelompok BN di Pekan Nanas malam tadi.
Perluas untuk wanita juga
Katanya, program itu dilakukan kerana beliau melihatnya sebagai salah satu tanggungjawab sebagai anggota parlimen yang perlu menjalankan tugas dengan “seikhlas yang boleh”.
Malah, tambah Wee, sekiranya menang dalam PRK ini, beliau akan berusaha mencari dana supaya program itu juga dapat diperluaskan kepada warga emas wanita juga.
Katanya idea berkenaan akan turut dibincangkan dengan Adun untuk merealisasikan hasrat itu.
Tahun lepas, dalam kempen PRU ke-14, Wee ada berjanji
untuk menambah kuota mengerjakan umrah melalui program itu sekiranya
beliau mendapat mandat dan kekal di kerusi Tanjung Piai.
Pada PRK kali ini pula, Wee akan berdepan pertembungan enam penjuru, dengan pesaing utamanya, Karmaine Sardini (PH), selain Badhrulhisham Abdul Aziz (Berjasa), Wendy Subramaniam (Gerakan) dan dua calon bebas, Ang Chuan Lock dan Faridah Aryani Abd Ghaffar.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan