Rabu, 6 November 2019

Berjasa tak berhasrat tinggalkan Gagasan Sejahtera

nurul atikah

 

Tok Badh hormat keputusan Presiden PAS, berhak berikan pandangan

BANGI– Berjasa menghormati pandangan PAS yang mahu mengkaji semula hubungan kerjasama antara keduanya dalam Gagasan Sejahtera, selepas parti itu mengambil keputusan untuk bertanding pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Tanjung Piai.

Presidennya, Prof Datuk Dr Badhrulhisham Abdul Aziz berkata, keputusan yang dibuat adalah hak dan pandangan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

“Saya tegaskan bahawa Berjasa menghormati PAS dan UMNO sebagai pejuang Melayu dan Islam, dan kita berkongsi aspirasi yang sama iaitu untuk mengembalikan dominasi kepimpinan Melayu-muslim di negara ini.

“Beliau (Abdul Hadi) mempunyai pandangan sendiri dan kami akan terus kekal dalam Gagasan Sejahtera. Kami tidak berkecil hati apabila beliau kata mahu kaji status kami dalam gabungan itu,” katanya yang juga calon Berjasa di Tanjung Piai.

Menghormati kenyataan Abdul Hadi, Prof Badhrulhisham atau lebih mesra panggilan Tok Badh menyatakan keyakinan bahawa Berjasa dapat memperkuatkan lagi gabungan Gagasan Sejahtera selepas PRK Tanjung Piai 16 November nanti.

Semalam, Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang memberitahu akan mengkaji semula hubungan dengan Berjasa dalam Gagasan Sejahtera, selepas Berjasa bertanding dalam PRK Tanjung Piai.

Gagasan Sejahtera adalah gabungan politik yang diwujudkan pada 2016, dianggotai PAS, Berjasa dan parti Ikatan Bangsa Malaysia (Ikatan).


Tiada ulasan: