Rabu, 13 November 2019

Azmin digugurkan sebagai perasmi kongres AMK, 21 pimpinan bantah

MALAYSIAKINI
 
 

Pemuda PKR (AMK) membelakangi tradisi dengan tidak mengundang timbalan presiden parti untuk merasmikan kongres tahunan mereka 6 Disember depan.

Sebelum ini, mengikut tradisi, kongres sayap pemuda parti itu dirasmikan timbalan presiden, dan Azmin Ali, seperti lazimnya dijadualkan merasmikannya. Sebaliknya, kali ini, ini tidak berlaku.

Ketua AMK Akmal Nasir berkata kongres mereka kali ini akan dirasmikan oleh penasihat PKR Wan Azizah Wan Ismail yang juga timbalan perdana menteri.

“AMK bertanggungjawab memberi mesej yang jelas kepada seluruh anggota PKR bahawa AMK akan kekal teguh mendokong kepimpinan parti yang sekali gus memelihara tradisi perjuangan PKR,” katanya.

Bagaimanapun, kata Akmal, perkara itu bukan baru kerana kongres AMK pernah dirasmikan oleh naib presiden.
Bagaimanapun, tindakan itu dibantah oleh sebahagian besar - 21 daripada 25 - kepimpinan pusat AMK yang menang dalam pemilihan lalu, termasuk timbalan ketuanya Hilman Idham.

Hilman dan 20 lagi pemimpin AMK hari ini mengeluarkan kenyataan rasmi menentang keputusan itu.

“Kami berpendirian bahawa sikap dan tindakan membatalkan jemputan tersebut merupakan suatu langkah yang sama sekali bertentangan dengan semangat kongres serta konvensyen dan tradisi organisasi,” kata mereka.

Kumpulan itu menyeru kepimpinan mengambil langkah tegas “mengembalikan PKR di atas landasannya, menggembeleng muafakat dan kesatuan anggota serta mempertahankan konvensyen dan tradisi organisasi”.

Kepimpinan pusat AMK mengandungi 43 anggota. Dua puluh lima daripada mereka dipilih dalam pengundian manakala 18 lagi jawatan lantikan.

Dalam pemilihan parti itu sebelum ini Akmal terlibat dalam kumpulan Naib Presiden Rafizi Ramli manakala Hilman pula dalam pasukan Azmin.

Sebahagian besar kepimpinan utamanya dikuasai pasukan Azmin.

Ketika dihubungi, Hilman memberitahu Malaysiakini bahawa Azmin telah menerima undangan merasmikan kongres itu pada 23 September.

Sementara itu, menurut sumber-sumber, ramai penandatangan dalam kenyataan bersama hari ini tidak hadir dalam mesyuarat 20 Oktober yang memutuskan Azizah menggantikan Azmin.

Malaysiakini juga difahamkan AMK biasanya bermesyuarat sebulan sekali dan sejak Februari lalu, lapan mesyuarat telah diadakan.

Kenyataan kumpulan 21 itu turut memetik nama Setiausaha Agung PKR Saifuddin Nasution dalam isu itu.

“Kenyataan Saifuddin Nasution, setiausaha agung PKR semalam berhubung isu pembatalan jemputan kepada Mohamed Azmin Ali, timbalan presiden PKR sebagai perasmi Kongres Nasional AMK hanya mencerminkan betapa PKR sedang dilanda krisis kepimpinan sehingga menyebabkan parti berada dalam keadaan yang berantakan,” kata mereka.

Ketika dihubungi, Saifuddin bagaimanapun berkata beliau tiada peranan dalam penganjuran acara itu.

“Hilman ialah timbalan ketua AMK. Pasti beliau tahu apa keputusan yang dibuat mereka dalam penganjuran kongres itu.

“Ini termasuklah tetapi yang akan merasmikan acara itu, pembahas-pembahas, usul dan perkara-perkara lain,” katanya.


Tiada ulasan: