Rabu, 13 November 2019

AMK Lembah Pantai bantah selain Azmin rasmi kongres

Nizam Zain
Nazrin Idham Razali
Naib Ketua AMK Cabang Lembah Pantai, Nazrin Idham Razali
 

KUALA LUMPUR – Angkatan Muda Keadilan (AMK) Cabang Lembah Pantai membantah sekeras-kerasnya usaha untuk membawa pihak lain selain Timbalan Presiden PKR, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali merasmikan Kongres Nasional sayap parti itu.

Naib Ketua AMK Lembah Pantai, Nazrin Idham Razali berkata, sebarang usaha untuk menghalang Mohamed Azmin daripada merasmikan kongres itu hanya akan mencemarkan semangat demokrasi di dalam parti itu.

“Kami akan menyokong sekiranya Timbalan Presiden merasmikan majlis ini manakala kami membantah sekeras-kerasnya pemimpin lain selain Datuk Seri Mohamed Azmin Ali.

“Kami memberikan amaran kepada Setiausaha Agung, jangan sesekali mencemarkan semangat demokrasi di dalam Keadilan.

“Sekiranya beliau mahukan perpecahan maka kami sudah bersiap dan bersedia akan berdiri teguh dan mempertahankan tanpa goyang di belakang Datuk Seri Mohamed Azmin Ali,” katanya dalam satu kenyataan bersama ahli jawatankuasa (AJK) PKR Cabang Lembah Pantai, hari ini.

Terdahulu, Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dilaporkan menyerahkan kepada sayap parti itu untuk mengundang pemimpin pilihan mereka bagi merasmikan kongres pada bulan depan.

Menurut Saifuddin, beliau tidak terlibat dalam memilih pemimpin untuk merasmikan kongres tersebut.

Kongres Nasional AMK PKR akan berlangsung di Melaka International Trade Centre (MITC), pada 6 Disember ini

Kenyataan ini turut disokong oleh beberapa AJK PKR Cabang Lembah Pantai, antaranya Mohd Nur Fadli Omar, Mohd Faizal Yahya, Akmal Putra Mohd Yunus, Saiful Azri Sabilis dan Muhammad Yazid Mohamad Salleh.

Dalam pada itu, Nazrin Idham menyokong sepenuhnya kenyataan Timbalan Ketua AMK Malaysia, Hilman Idham serta barisan kepimpinan yang sependapat di dalam kenyataan media bersama hari ini.

“Tindakan tidak sejajar dengan semangat reformasi ini telah membawa keretakan yang teruk kepada imej Keadilan dan ini turut menjadikan kepimpinan kini seakan-akan sudah mabuk todi.

“Sikap berpuak-puak di dalam Keadilan Pro-Anwar Ibrahim dan Anti-Azmin Ali ini sudah seperti virus dan tidak boleh diubati lagi,” katanya.

Katanya, tindakan Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail membatalkan jemputan Mohamed Azmin adalah tidak wajar dan bercanggah dengan semangat muafakat kekeluargaan di dalam Keadilan.

“Semua kepimpinan hendaklah akur dengan proses pemilihan yang lepas dan tidak perlu ada sebarang tindakan sabotaj dan tekanan di dalam dan di luar organisasi.

“Timbalan Presiden PKR mempunyai hak untuk merasmikan Kongres AMK Malaysia kerana itu adalah jemputan majoriti daripada kepimpinan sendiri dan hak anggota yang menyokong,” katanya.

Menurutnya lagi, setiausaha agung yang taksub dengan semangat pro-Anwar ini hendaklah diketepikan demi kesejahteraan parti Keadilan.

“Kami tetap mendesak supaya Timbalan Presiden merasmikan kongres dan bukan orang lain selain beliau.

“Setiausah Agong tidak mempunyai hak untuk tentukan “King Maker” pemimpin yang layak untuk merasmikan Majlis Kongres AMK Malaysia,” katanya. – MalaysiaGazette

Tiada ulasan: