Rabu, 13 November 2019

Jual tanah umpama jual maruah

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

 

Tawaran Khalid di Kg Baru tidak telus seperti ‘try and error’


BANGI– Pemilik dan pewaris tanah Kampung Baru bertegas tidak akan menjual tanah yang menjadi warisan Melayu sejak 120 tahun itu. 

Setiausaha Kehormat Lembaga Pentadbir Penempatan Pertanian Melayu (MAS), Shamsuri Suradi berkata, pihaknya menentang penjualan tanah yang tinggi nilai sejarah itu, sebaliknya menuntut kerajaan membangunkan kawasan berkenaan secara kondusif.

“Kita tidak berminat untuk menjual tanah. Kalau dia (Khalid Abdul Samad) naikkan kepada RM1,000 kaki persegi ataupun RM2,000 kaki persegi sekalipun kami tak nak jual. Kalau kami tiada tanah, kami tiada maruah. Maruah kami mana kami nak letak.

“Ada yang kata orang Kampung Baru tamak, kami bukan tamak, kami nak kekalkan tanah sendiri,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Sebelum ini, kerajaan mengumumkan harga tawaran baru pembelian tanah Kampung Baru bernilai RM1,000 bagi setiap satu kaki persegi berbanding RM850 pada asalnya.

Harga RM150 setiap kaki persegi akan diperoleh dalam bentuk pegangan saham melalui Syarikat Tujuan Khas (SPV) yang akan ditubuhkan kelak.

Menteri Wilayah Persekutuan, Khalid Abdul Samad berkata, beliau yakin pemilik tanah di Kampung Baru akan bersetuju untuk menjual tanah mereka bagi tujuan pembangunan semula kampung yang berusia lebih 100 tahun itu.

Katanya, ia kerana tawaran yang mencecah sehingga RM43.5 juta bagi satu ekar atau 0.4046 hektar tanah di kawasan itu merupakan paling tinggi dalam sejarah.

Bagaimanapun, Shamsuri menyifatkan tawaran dari Khalid tidak telus dan tidak lengkap.

“Kalau nak beli tanah siapkan dokumen. Buktikan pakej yang ditawarkan telah berjaya dilakukan di mana. Ini tidak, tawaran ini tidak pernah dilakukan di mana-mana. Tiada bukti pernah berjaya. Dia buat semacam ini pelan ‘try and error’.

“Kalau dia kata RM6 juta bagi lot 8,000 kaki persegi. Boleh dapat semua ke? Bila kita tanya, YB Khalid tak dapat jawab. Apa yang ditawarkan hanya melalui sidang media. Tapi hitam putih tidak wujud. Cuma cakap pada media sahaja,” katanya.

Mengulas lanjut, Shamsuri sekali lagi menegaskan bahawa pemilik dan pewaris tidak berminat untuk menjual tanah mereka, tetapi berminat untuk membangunkannya supaya menjadi lebih indah dan tidak kelihatan seperti ‘kudis’ di tengah kota seperti yang dikatakan Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Kalau kata Kampung Baru ini macam kudis, salah siapa? Kamu pemerintah, kenapa kamu tak bangunkan? 

“12 datuk bandar di sini semua tiada jiwa Melayu. Ada jawatan tapi buat apa? Semua fikir keuntungan sahaja. Peruntukan RM10 bilion untuk pembelian tanah itu adalah lebih baik disalurkan untuk pembangunan infrastruktur di Kampung Baru ini,” tegasnya.


Tiada ulasan: