Isnin, 7 Oktober 2019

Kongres Maruah Melayu hanya wayang politik Dr Mahathir

ainulillia  

 

PM, PH nampak terdesak untuk jadi relevan kepada orang Melayu

BANGI– Naib Presiden UMNO, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin menyifatkan Kongres Maruah Melayu (KMM) yang diadakan di Shah Alam semalam, sebagai wayang politik terhebat Tun Dr Mahathir Mohamad setakat ini.

Beliau berkata, Perdana Menteri ke-7 itu berjaya memainkan sentimen seolah-olah orang Melayu perlu mendengar ‘wasiat terakhir’ tokoh Melayu neo-liberal berkenaan.

Dengan mengumpulkan semua pemimpin dari segenap institusi politik negara, maka Dr Mahathir telah memberi anggapan bahawa semua orang Melayu telah menyokong beliau, padahal ia tidak sama sekali, kata Mohamed Khaled.

“Pertama, kongres ini tidak inklusif dan bukan untuk semua orang Melayu. Ia tidak lahir dari keterdesakan orang Melayu bagi membangun serta memulihkan bangsanya.

“Ia bukanlah gerakan masa dan gerakan kebanyakan orang Melayu untuk survival bangsanya. Sudah semestinya, ia adalah perhimpunan politik untuk menunjukkan kekuasaan dan keegoan Tun Mahathir,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, kongres itu juga secara langsung memperkudakan universiti awam untuk tujuan politik sebuah parti, selain memenuhi cita-cita pemimpinnya iaitu Dr Mahathir.

Bahkan katanya, resolusi yang dinyatakan cendikiawan Melayu, langsung tidak disentuh atau diulas oleh Dr Mahathir dalam amanatnya semalam.

“Adakah pusat pengajian kita akan terus dipergunakan oleh Bersatu dan Tun Mahathir atas nama Melayu? Tidakkah mereka dahulu yang sering melaungkan bahawa universiti harus bebas dari genggaman ahli politik?

“Ketiga, kongres ini tidak akan boleh menyaingi Muafakat Nasional UMNO-PAS, kerana ia bukanlah satu wadah pemberdayaan bangsa melalui kesatuan politik,” katanya.

Mohamed Khaled berkata, Dr Mahathir mula sedar bahawa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) bukanlah sebuah parti Melayu yang besar, signifikan dan terbukti jasanya seperti UMNO dan PAS.

“Tambahan pula dengan populariti Pakatan Harapan serta Tun Mahathir sendiri yang semakin menurun, nampak begitu terdesak sekali mereka ingin menjadi relevan kepada orang Melayu. 

InsyaAllah orang Melayu tidak akan sekali lagi ditunggangi Tun Mahathir untuk kepentingannya sendiri.

“Tun Mahathir gagal menggunakan kesempatan di kongres itu untuk menjelaskan tawaran Kerajaan pimpinannya untuk memelihara dan membangun keberdayaan bangsa Melayu,” katanya.

Jika sekadar mahu menegur sikap bangsa Melayu, beliau berkata, Dr Mahathir boleh berbuat demikian dalam Perhimpunan Agung Bersatu sahaja.

“Nyatakan transformasi bagaimana yang akan Kerajaan PH lakukan untuk bangsa Melayu tanpa rasa apologetik. 

“Kesimpulannya, maruah Melayu hanya layak di kongreskan di luar Kerajaan, dan bukannya di angkat menjadi agenda tuntas Pakatan Harapan dek kerana pengaruh DAP yang sangat luar biasa dan tidak akan memungkinkan ia berlaku,” katanya.

Kongres Maruah Melayu yang diadakan semalam itu menyaksikan pembentangan resolusi enam kluster – budaya, agama, pendidikan, ekonomi, dan politik – yang diserahkan kepada Perdana Menteri sebelum beliau menyampaikan amanat.

Antara pemimpin Melayu yang turut hadir ialah Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Setiausaha Agung UMNO Tan Sri Annuar Musa, serta pemimpin NGO Melayu dan Islam yang lain.

Kongres Maruah Melayu yang diadakan semalam itu menyaksikan pembentangan resolusi enam kluster – budaya, agama, pendidikan, ekonomi, dan politik – yang diserahkan kepada Perdana Menteri sebelum beliau menyampaikan amanat.

Antara pemimpin Melayu yang turut hadir ialah Presiden PAS Datuk Seri Abdul Hadi Awang, Timbalan Presiden PKR Datuk Seri Mohamed Azmin Ali, Setiausaha Agung UMNO Tan Sri Annuar Musa, serta pemimpin NGO Melayu dan Islam yang lain.


Tiada ulasan: