Isnin, 28 Oktober 2019

Petani mohon bantuan benih padi lepas sawah ditenggelami banjir

 

Para petani di Kampung Matang Merbau, dekat Bagan Serai meminta kerajaan memberikan bantuan benih padi untuk ditanam semula, selepas sawah seluas 80 hektar yang baharu ditabur benih padi rosak, ditenggelami banjir.

Timbalan Ketua Unit Peladang kampung itu, Anuar Nusi berkata pihaknya telah mengemukakan permohonan kepada Ahli Parlimen Bagan Serai, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali untuk dibincangkan di peringkat Kementerian Pertanian dan Industri Tani.

“Ini kerana sawah yang ditenggelami banjir itu baru ditabur benih padi di antara seminggu hingga dua minggu lalu. Hujan yang turun hampir setiap hari menyebabkan air dari sistem perparitan tidak dapat mengalir keluar seterusnya bertakung di kawasan sawah,” katanya ketika dihubungi di Bagan Serai, hari ini.

Katanya benih padi yang baharu bercambah akan terapung-apung kerana ditenggelami air.

Anuar berkata beliau sendiri mengalami kerugian apabila kira-kira 20 hektar sawah yang diusahakannya turut ditenggelami air sedalam 0.5 hingga 1 meter sejak seminggu lepas.

Beliau berkata walaupun Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) menempatkan sebuah pam tetapi hujan yang turun dan air yang datang dari kawasan lain akan bertakung di kawasan sawah di kampung itu sehingga menyebabkan pam tidak dapat mengepam air dengan cepat.- Bernama


Tiada ulasan: